PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada reformasi besar-besaran terhadap institusi-institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) agar lebih adil dan mencerminkan realiti semasa.
Tegas beliau, struktur semasa yang diwarisi dari era pasca Perang Dunia Kedua sudah tidak lagi relevan untuk menangani cabaran dunia moden yang semakin kompleks dan pelbagai dimensi.
“Negara membangun tidak seharusnya terus terperangkap dalam sistem yang lapuk. Struktur usang ini perlu dirombak agar lebih saksama dan memberi ruang kepada suara serta keperluan negara-negara Selatan Global,” katanya dalam ucapan pada Forum Perniagaan BRICS di Rio de Janeiro, Brazil semalam.
Anwar yang menerima penghormatan untuk bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva merasmikan forum tersebut, menegaskan bahawa dunia kini memerlukan pendekatan baharu yang lebih inklusif dan seimbang dalam tadbir urus antarabangsa.
Menurut beliau, negara-negara membangun tidak lagi boleh dilihat sebagai pemain pinggiran, sebaliknya telah bangkit sebagai kuasa bermaruah dengan kekuatan tersendiri dalam bidang teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia.

“Kita bukan lagi sekadar pewaris sejarah pasca penjajahan. Kita kini adalah peneraju kepada sistem dunia yang baharu dan lebih adil,” katanya lagi.
Dalam konteks itu, Perdana Menteri menyifatkan BRICS sebagai platform penting yang melangkaui retorik politik semata-mata, sebaliknya gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bergerak seiring dalam membentuk hala tuju dunia.
“Keunikan BRICS terletak pada penyertaan aktif sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani. Ia bukan wacana elit, tetapi gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan,” ujarnya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata Malaysia komited untuk memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh perdagangan intra ASEAN dan mempelopori penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan.
“Langkah ini adalah antara usaha konkrit untuk mewujudkan sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral,” tambahnya.
Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara BRICS dan ASEAN demi meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau, sekali gus memanfaatkan potensi besar negara-negara membangun.
Menutup ucapannya, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Presiden Lula dan menegaskan bahawa BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan, tetapi detik kebangkitan baharu untuk membentuk semula landskap global.
“Dengan kepimpinan politik berwawasan, sektor swasta progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, kita punya peluang sebenar untuk mencorak masa depan dunia. Kita akan teruskan momentum ini di Kuala Lumpur, Oktober nanti,” katanya. — Edisi 9

