PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah perlu dirangka semula agar lebih adil, seimbang dan saling menghormati antara satu sama lain.
Berucap dalam syarahan umum di Universiti Sorbonne di Paris, Perancis awal pagi ini (waktu Malaysia), beliau berkata, sudah tiba masanya warisan kolonial dan pendekatan berasaskan dominasi dalam hubungan antarabangsa ditamatkan.
“Hubungan yang dibina perlu berdasarkan kesaksamaan dan kepercayaan bersama, bukannya kekuasaan sebelah pihak atau legasi penjajahan yang terus menghantui,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata, Asia Tenggara bukan lagi rantau yang dilihat lemah, malah kini dinamik, matang dari segi politik dan berkembang pesat secara ekonomi.
Menurut beliau, Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa yang menjunjung prinsip keamanan, kemakmuran bersama dan kedaulatan negara yang dihormati.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh isu kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan menyelar sikap pasif masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Keadilan tidak boleh bersifat terpilih. Keganasan dan pencabulan hak asasi manusia tidak boleh lagi dihadapi dengan sikap berdiam diri,” katanya.
Anwar turut mengangkat isu Islamofobia yang kian membimbangkan, khususnya di beberapa negara Eropah, dan mengingatkan bahawa nilai fraternité yang menjadi tunjang tamadun Perancis perlu diterjemahkan secara inklusif dan sejagat.
“Prinsip fraternité tidak boleh dibatasi oleh sempadan identiti. Ia mesti menjunjung maruah dan hak semua manusia tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan pentingnya memperkukuh dialog antara budaya, agama dan tamadun bagi menghindari dunia daripada terus terjerumus ke dalam perpecahan dan polarisasi.
“Peradaban Islam dan Barat pernah bekerjasama mencipta kemajuan bersama. Maka tugas kita kini ialah membina semula jambatan kepercayaan yang berlandaskan nilai kemanusiaan dan kemajuan sejagat,” katanya.
Tambah beliau, perbezaan antara Eropah dan Asia tidak seharusnya menjadi penghalang, sebaliknya dijadikan asas untuk membina masa depan bersama yang lebih adil, inklusif dan bermaruah untuk generasi akan datang.
Turut hadir pada syarahan berkenaan ialah para akademik, ahli diplomatik, mahasiswa antarabangsa serta tokoh-tokoh pemikir Eropah. — Edisi 9

