Wednesday, July 22, 2026

Anwar amat sedih, terkesan pemergian Muhammad Nur Manuty

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa amat sedih dan terkesan atas pemergian Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Anwar yang baru melawat rakan karibnya ketika dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Sabtu lalu, terkejut dengan pemergian mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tersebut.

“Almarhum merupakan mantan Presiden ABIM selain bergerak sangat aktif di lapangan pemikiran agama, pendidikan dan intelektual serta keadilan. 

“Saya terkesan dan sangat sedih dengan pemergian beliau tatkala kami sempat ketemu beberapa hari yang lalu. 

“Mendoakan roh beliau diberi keampunan oleh Yang Maha Esa dan diberi tempat bersama para syuhada, serta keluarganya diberi kekuatan, kecekalan, dan ketabahan olehNya, Insya-Allah,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut terkesan dengan pemergian Muhammar Nur.

“Saya membesar mengenali nama dan ketokohan Almarhum sebagai seorang ilmuan, pendakwah dan pemikir yang sentiasa istiqamah memperjuangkan nilai Islam melalui ilmu, wacana dan kepimpinan,” katanya menerusi media sosial.

Beliau berkatan, sejak menerajui ABIM sehinggalah memimpin IKIM, Allahyarham tidak pernah jemu memartabatkan dakwah dengan pendekatan hikmah dan intelektual.

Katanya, banyak pandangan dan nasihat beliau menjadi bekal dan pedoman buat kami yang masih meneruskan perjuangan ini.

“Saya pernah beberapa kali berkesempatan berdialog dengan Almarhum dan setiap kali itu, terasa seolah-olah sedang belajar daripada seorang murabbi yang sangat penyabar dan luas wawasannya,” katanya.

Muhammad Nur, 76, meninggal dunia pada jam 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, dan akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.

Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Pada 18 Januari lalu, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepemimpinan dan sumbangan beliau yang membawa perubahan besar kepada persatuan tersebut. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan