KERAJAAN mengalu-alukan suara rakyat termasuk kritikan keras terhadap pimpinan tertinggi negara, namun menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah dan memperkukuh reformasi institusi tidak akan sesekali tergoyah.
Mengulas insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri oleh sekumpulan penunjuk perasaan dalam demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Kota Kinabalu, jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO), Tengku Nashrul Hadi Tengku Hassan berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami dan menghormati ekspresi tersebut sebagai lambang kebebasan bersuara.
“YAB Perdana Menteri tidak mengambil hati dengan tindakan itu. Sebaliknya, beliau melihat ia sebagai isyarat bahawa rakyat masih menaruh harapan tinggi agar reformasi dan pembanterasan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh dan telus,” kata Tengku Nashrul Hadi dalam taklimat harian PMO hari ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri yang juga bekas aktivis mahasiswa dan tokoh reformasi, cukup memahami denyut nadi rakyat dan tidak gentar dengan sebarang bentuk kritikan terbuka.
“Beliau pernah berada di jalanan memperjuangkan perubahan. Maka beliau percaya bahawa keberanian anak muda menyuarakan pandangan, asalkan berfakta dan ikhlas adalah asas kepada demokrasi yang matang,” ujar beliau lagi.
Mengulas penglibatan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam demonstrasi tersebut, Tengku Nashrul berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak universiti agar tidak mengenakan tindakan yang menjejaskan masa depan akademik mereka.
“Perbezaan pandangan bukan jenayah. Kerajaan MADANI menjunjung prinsip ihsan masa depan anak muda tidak harus dikorbankan hanya kerana mereka bersuara,” tegas beliau.
PMO turut mengulangi bahawa agenda reformasi bukanlah retorik, sebaliknya sedang diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif struktural melibatkan tadbir urus, ketelusan dan pembanterasan rasuah.
“Komitmen kerajaan terhadap reformasi bukan bersifat bermusim. Ia adalah proses berterusan yang sedang diperhalusi dan dilaksanakan dengan strategi yang terancang,” jelas Tengku Nashrul.
Dalam taklimat sama, beliau turut menyentuh isu kesihatan Perdana Menteri, yang disahkan berada dalam keadaan sangat baik selepas menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Sabtu lalu.
Sementara itu, Tengku Nashrul Hadi berkata, kebebasan media yang dijunjung dalam negara ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengenepikan tanggungjawab dan disiplin kewartawanan.
Justeru, katanya, kerajaan menyelar penyiaran grafik oleh sebuah portal berita terkenal yang tular kerana mengaitkan Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan kepartian politik.
Katanya, tindakan tersebut merupakan kekhilafan editorial yang berpotensi merosakkan keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam.
“Pengurusan media tidak boleh lepas tangan; proses semak fakta mesti diperkukuh agar kepercayaan rakyat tidak terhakis,” tegas beliau.
Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa tuduhan melulu terhadap institusi penguatkuasaan seperti polis adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan moral anggota serta keyakinan awam terhadap undang-undang. – Edisi 9

