Thursday, June 4, 2026

Kembalikan perpustakaan sebagai pusat kecemerlangan tamadun

PM melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan budaya membaca dalam kalangan masyarakat masa kini yang lebih terarah kepada budaya reaksi segera dan maklumat sepintas lalu.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan negara MADANI perlu bertunjangkan ilmu pengetahuan, dan perpustakaan mesti kembali diangkat sebagai pusat kecemerlangan tamadun.

Berucap merasmikan Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) pagi tadi, beliau berkata bahawa institusi perpustakaan, bersama sekolah dan universiti, seharusnya menjadi nadi kepada kemajuan bangsa.

“Sejarah membuktikan setiap tamadun agung terbina atas asas ilmu. Dari Perpustakaan Alexandria ke Baitul Hikmah di Baghdad, lahir cendekiawan, pujangga dan pemikir yang mewariskan kebijaksanaan lampau,” katanya.

Anwar turut menyentuh peranan perpustakaan sebagai ruang suci untuk pencarian ilmu. 

Mengimbau karya The Name of the Rose oleh Umberto Eco, beliau menggambarkan perpustakaan sebagai labirin ilmu, manakala saintis terkenal Carl Sagan disifatkannya sebagai menyentuh hakikat bahawa buku adalah “bukti bahawa manusia mampu mencipta keajaiban.”

Namun begitu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan budaya membaca dalam kalangan masyarakat masa kini yang lebih terarah kepada budaya reaksi segera dan maklumat sepintas lalu.

“Kita semakin tenggelam dalam budaya memburu reaksi pantas, di mana pendapat terbentuk hanya menerusi dua baris ayat. Ini melahirkan budaya kejahilan dan menjadikan perbahasan awam semakin dangkal serta berbahaya,” katanya lagi.

Justeru, Perdana Menteri menyeru agar budaya membaca dan berfikir dihidupkan semula, dan perpustakaan tidak harus dilihat sekadar bangunan indah semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai ruang hidup untuk wacana dan pertukaran ilmu.

Menurut beliau, peranan pustakawan adalah sangat penting dalam memacu usaha tersebut.

Anwar turut mengenang tokoh pustakawan seperti Beda Lim (bekas Ketua Pustakawan Universiti Malaya) dan Rohani Rustam (bekas Ketua Pustakawan Dewan Bahasa dan Pustaka) yang banyak berjasa menggalakkan budaya membaca dalam masyarakat.

Katanya, inisiatif kerajaan termasuk pemberian insentif tunai untuk membeli buku dan peluasan perpustakaan digital adalah langkah awal yang penting.

“Perpustakaan mesti menjadi ruang yang berjiwa – tempat manusia mencari makna dan membina keyakinan diri terhadap tamadun yang kita warisi dari Angkor Wat ke Borobudur hingga Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa pustakawan perlu dilihat sebagai penjaga amanah ilmu, dan perpustakaan perlu terus berkembang sebagai pusat pemikiran kritis dan pembentukan bangsa yang berilmu. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan