Wednesday, July 22, 2026

Malaysia tegas amalkan pendekatan bebas, berprinsip – Anwar

Hubungan erat dengan Rusia tidak menjejaskan persahabatan kita dengan Amerika Syarikat, China atau mana-mana rakan dagang lain.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian bebas dan berprinsip dalam hubungan antarabangsa, tanpa berpihak kepada mana-mana blok kuasa besar dunia.

Beliau berkata, meskipun lawatan rasmi ke Rusia baru-baru ini membuka pelbagai peluang kerjasama strategik, Malaysia tetap komited terhadap dasar luar yang mengutamakan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

“Hubungan erat dengan Rusia tidak menjejaskan persahabatan kita dengan Amerika Syarikat, China atau mana-mana rakan dagang lain. Malaysia berhak menentukan hala tuju dasar luar secara bebas, berprinsip dan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak,” katanya yang mengakhiri lawatan rasmi ke Rusia hari ini.

Menurut Anwar, lawatan tersebut berjaya memperkukuhkan hubungan dua hala serta merintis ruang baharu kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan dan teknologi digital.

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah membangkitkan isu pesawat MH17 dalam pertemuan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, dengan menegaskan bahawa Malaysia tetap berpegang pada prinsip kebenaran dan keadilan untuk mangsa dan keluarga mereka.

“Malaysia tidak sesekali akan mengabaikan tanggungjawab dalam menuntut keadilan berhubung tragedi MH17,” katanya.

Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin pula, Anwar berkata, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai kerjasama dalam sektor pertanian, termasuk koko dan minyak sawit, serta menyelesaikan isu-isu yang menghalang kelancaran perdagangan dua hala.

Sesi meja bulat bersama 24 syarikat utama Rusia turut membuka ruang kerjasama dalam sektor produk berasaskan sawit, industri kimia, perabot, teknologi digital dan kecerdasan buatan.

“Minat yang ditunjukkan oleh pihak Rusia amat memberangsangkan dan membuka potensi pelaburan baharu,” katanya.

Ketika berucap di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia-Islamic World” dan KazanForum di Kazan, Anwar menyeru dunia Islam agar bangkit sebagai kuasa yang membawa mesej keamanan, keadilan dan harapan.

Beliau turut bertemu Mufti Rusia, Presiden Turkmenistan serta tokoh-tokoh utama dunia Islam dalam usaha memperkukuh peranan Malaysia sebagai jambatan antara dunia Islam dan kuasa besar global.

Menurut Anwar, delegasi Malaysia membawa pulang pengalaman berharga daripada lawatan tersebut, bukan sahaja dalam memperkukuh hubungan dua hala, malah dalam menghayati sejarah, budaya dan semangat ketahanan rakyat Rusia.

“Malaysia amat menghargai layanan luar biasa dan semangat persahabatan yang ditunjukkan oleh pihak Rusia sepanjang lawatan rasmi ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan