LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia bukan sekadar kunjungan diplomatik biasa tetapi satu langkah strategik dalam mendepani cabaran ekonomi global, khususnya kesan daripada dasar tarif balas Amerika Syarikat (AS).
Penganalisi geostrategij, Prof Madya Dr. Azmi Hassan berkata, kunjungan tersebut menjadi amat signifikan apabila diambil kira dalam konteks ketidaktentuan ekonomi global dan potensi pengasingan pasaran oleh kuasa besar seperti AS.
“Jika tidak berlaku tarif Trump ini, maka lawatan Perdana Menteri adalah lawatan biasa. Namun bila senario berubah, Malaysia perlu bertindak proaktif mencari pasaran dan peluang dagangan baharu,” katanya ketika dihubungi Edisi 9 hari ini.
Presiden Donald Trump dijangka mengekalkan tarif import sehingga 24 peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas produk-produk dari luar, termasuk negara-negara Asia Tenggara.
Menurut Azmi, tarif tersebut tidak menunjukkan tanda akan ditarik balik, dan akan terus menjejaskan negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia yang selama ini banyak bergantung kepada pasaran AS.

Justeru, beliau melihat Rusia sebagai pasaran alternatif yang besar dan berpotensi, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sedang mencari ruang untuk bernafas dalam pasaran global yang kian mencabar.
“Lawatan ini bukan sahaja membuka pasaran baharu kepada Malaysia, malah turut memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN lain,” katanya sambil menambah bahawa Rusia kini dilihat sebagai rakan dagang yang strategik bukan hanya dari sudut ekonomi tetapi juga geopolitik.
Dimensi geostrategik penting
Selain daripada aspek perdagangan, lawatan itu juga membawa dimensi geostrategik penting apabila Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, menghantar isyarat tegas kepada kuasa besar dunia bahawa rantau Asia Tenggara mempunyai saluran lain untuk mengukuhkan kedudukannya dalam ekonomi global.
“Kita memberi satu isyarat kepada Amerika Syarikat bahawa sekiranya mereka mengenepikan kepentingan Malaysia dan ASEAN, kita masih ada BRICS di mana Rusia juga merupakan anggotanya,” ujar beliau.
Untuk info, BRICS ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia untuk mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah.
Tambah Azmi, hubungan dua hala dengan Rusia bukan sahaja penting dalam aspek perdagangan dan pelaburan, tetapi juga dari sudut geopolitik.
Katanya, Rusia merupakan anggota utama blok BRICS sebuah gabungan negara-negara membangun yang kini semakin berpengaruh dalam membentuk sistem ekonomi dunia pelbagai kutub (multipolar).
Negara-negara BRICS menyasarkan untuk mewujudkan sistem ekonomi dan perdagangan baharu yang berasingan daripada sistem Barat yang diketuai AS.
Sejak penubuhan BRICS, ahli telah melihat peningkatan dalam ekonomi negara mereka.
Azmi menyifatkan tindakan Anwar sebagai satu langkah berani dan matang, seiring dengan aspirasi Malaysia untuk tidak hanya bergantung kepada satu blok ekonomi semata-mata, sebaliknya bersifat terbuka dan pelbagai hala dalam membina kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Perlu diingat, lawatan ini bukan sebagai Perdana Menteri Malaysia semata-mata, tetapi beliau juga membawa suara ASEAN sebagai pengerusinya tahun ini,” katanya.
Lawatan ini turut dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian strategik dalam bidang perdagangan, pendidikan tinggi, keselamatan makanan dan tenaga serta menandakan satu era baharu hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia yang lebih komprehensif dan berkepentingan bersama. – Edisi 9

