Thursday, June 4, 2026

Inisiatif Warisan KL bukan projek kosmetik tetapi… – Anwar

Ia adalah sebuah iltizam untuk menyusun semula lanskap kota dari sekadar membina mercu dan gendung, kepada membina bangsa dengan nilai dan budaya

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) bukanlah sebuah projek kosmetik sebaliknya merupakan falsafah dalam pembangunan negara.

Menurut Perdana Menteri, sesebuah kota hanya akan kekal relevan apabila ia mengenal sejarahnya, membenih dan menyemai budayanya serta memberi makna kepada setiap warga dan jiwa penghuninya.

“Sementalahan, kita tidak boleh hanya tertumpu pada membina gedung-gedung besar dan hotel mewah tetapi gerai rakyat yang menjadi nadi kehidupan warga biasa dikesampingkan.

“Ini tersimpang jauh dari makna dan nilai negara yang madani. Gedung-gedung sejarah mesti dibangunkan dan dipelihara agar menjadi tempat rakyat menggali sejarah dan khazanah pembangunan negara.

“Warisan KL adalah sebuah iltizam untuk menyusun semula lanskap kota dari sekadar membina mercu dan gendung, kepada membina bangsa dengan nilai dan budaya,” katanya.

Anwar Ibrahim diberi penerangan mengenai Warisan KL di Menara DBKL, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meluncurkan inisiatif Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Anwar berkata, Warisan KL merupakan satu wahana besar yang bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur bukan hanya sebagai pusat pentadbiran dan kemajuan fizikal, tetapi sebagai kota berjiwa, berbudaya, dan bersejarah.

“Saya memetik pengalaman Mark Twain tatkala mengunjungi kota Washington DC, katanya: “impressive and modern buildings, but culturally barren”.

“Sebuah ibu kota yang gah dari segi pembangunan fizikal, namun gersang dari segi budaya. Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi kota yang kehilangan ruhnya.

“Pembangunan mesti menggapai langit, tetapi dalam masa yang sama, akarnya mesti tertanam kukuh pada tanah sejarah, nilai, dan peradaban. Kita membina masa depan yang moden, namun tidak tercerai daripada pensejarahan dan nilai karamah insaniah,” katanya.

Justeru, jelas Perdana Menteri, dua tahun lalu beliau telah memberi arahan kepada Khazanah Nasional untuk menerajui gagasan besar tersebut.

Katanya, kita bukan sekadar mahu membina gedung-gedung megah yang mencakar langit, tetapi membina kota yang punya identiti dan jati diri yang utuh.

“Keunikan kota tidak terletak pada gedung dan mercu perkasa semata, tetapi pada kisah, warisan, dan semangat warga yang menghuninya.

“Kuala Lumpur harus berkembang mengikut tuntutan dan semangat zaman (zeitgeist), namun jangan sesekali melupakan nadi asalnya,” katanya.

Sementara itu, Anwar menempelak kelompok revisionis dalam kalangan pengkaji sejarah yang cuba menafsir semula sejarah kononnya negara ini hanya membangun hasil kehadiran, buah fikiran dan tangan penjajah.

“Kita tidak berkongsi pandangan kolot dan sempit seperti itu. Justeru, kita berpandukan pada pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam usaha “reconstruction of Malaysian history” iaitu pensejarahan yang inklusif, yang mengiktiraf sumbangan setiap bangsa; dari kehadiran Yap Ah Loy yang membangun prasarana kota, masyarakat India yang menyumbang tenaga dan budaya, hingga peranan Raja Abdullah dalam pertumbuhan awal bandar ini,” katanya.

Beliau berkata, warisan bukan milik satu kaum sebaliknya ia adalah milik bersama. Oleh itu, warisan harus diteliti dan dijadikan fokus dan agenda nasional.

Perdana Menteri mengambil contoj Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang mana ia bukan sekadar struktur seni bina, tetapi mercu sejarah yang penting dalam melonjak perkembangan kota di peringkat awal.

“Saya pernah mengusul dan mendesak agar penjajah Inggeris mengembalikan semula Carcosa Seri Negara satu ketika dahulu, dan ia harus menjadi lambang pemilikan rakyat dan warisan bangsa yang diberi nafas baharu,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan