AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memeterai Nota Kerjasama bagi pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kerjasama itu bertujuan memerangi penyalahgunaan dadah, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Kerjasama strategik ini kali kedua diadakan dalam tempoh lima tahun, bertujuan membanteras penyalahgunaan dadah dan jenayah rasuah, membudaya integriti dalam organisasi dan pelaksanaan mengikut undang-undang dan dasar kerajaan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nota kerjasama itu ditandatangani oleh Ruslin dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ruslin berkata, menerusi kerjasama strategik itu, AADK akan mewujudkan tempat kerja bebas dadah, menyampaikan mesej pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah atau bahan di SPRM.
“Menerusi kerjasama ini juga, AADK akan menyediakan khidmat latihan dan program pemulihan kepada pegawai SPRM yang terbabit dengan isu penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan serta membantu dalam operasi ujian saringan air kencing,” katanya.
Sementara itu, Ruslin berkata, Unit Integriti AADK melakar sejarah apabila memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO QMS 9001:2015 daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) tahun ini.
Beliau berkata, pensijilan itu diperoleh menerusi dua skop fungsi teras AADK iaitu pengurusan aduan dan pengurusan siasatan integriti.
“Dengan kejayaan itu, Unit Integriti AADK menjadi pasukan integriti pertama di negara ini merangkul pensijilan itu tanpa mendapat Laporan Ketidakpatuhan (NCR) dan peluang penambahbaikan (OFI).
“Kejayaan ini menjadikan Unit Integriti AADK sebagai penanda aras bagi Unit Integriti lain di negara ini,” katanya.
Ruslin berkata, ISO berkenaan adalah bukti usaha AADK meningkatkan pengurusan tatakelola mengikut standard antarabangsa.

