MALAYSIA dan Pakistan sepakat untuk menyegerakan sebarang urusan tertunggak berhubung memorandum persefahaman yang dipersetujui antara kedua-dua negara sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dinyatakan ketika beliau dihubungi rakan sejawatnya, Shehbaz Sharif semalam sempena Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, persefahaman yang persetujui itu terkait dengan pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta bidang sains.
“Insya-Allah, kami sepakat mahu menyegerakan sebarang urusan tertunggak untuk segera merealisasikan kerjasama ini,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.
Anwar berkata, hasil pertemuan beliau dengan Shehbaz di Pakistan pada Oktober tahun lalu telah membuka ruang untuk pelbagai kerjasama baharu diteroka.

Katanya, jumlah pelaburan Pakistan di Malaysia telah berkembang baik dan kini mencecah sekitar AS$397 juta (RM608 juta).
“Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu terutama dalam bidang pertanian, petrokimia dan biojisim,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, pada kesempatan itu beliau turut menyinggung perkembangan di Gaza tatkala Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai menerusi serangan ganas terhadap rakyat Palestin.
“Kami sempat bertukar pandangan dan menyelaras idea tentang menghentikan keganasan dan pemulihan semula Gaza,” katanya.
Shehbaz dijangka akan berkunjung ke Malaysia buat pertama kali pada 9 Mei depan. – Edisi 9

