ORANG ramai dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka sepanjang Monsun Barat Daya yang akan melanda seluruh negara dijangka mulai 17 Mei dan berterusan sehingga September.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorolgi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, pada masa yang sama mereka juga dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah.
Beliau berkata, dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.
“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar. Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Helmi berkata, dalam tempoh tersebut kebanyakan tempat di seluruh negara mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
Katanya, semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, Muhammad Helmi berkata, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.
Katanya, garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam. – Edisi 9

