DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dunia mesti bertindak dengan langkah yang nyata dan berani termasuk menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan.
Menurut Perdana Menteri, kecaman semata-mata tidak lagi memadai manakala kenyataan demi kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu rejim Yahudi itu.
“Dalam masa sama, Gaza terus ditenggelami darah dan runtuhan. Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban.
“Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri,” kata beliau.
Anwar menyatakan pendirian Malaysia tersebut pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar malam tadi.
Sidang kemuncak tergempar itu diadakan susulan serangan udara Israel ke atas Doha oleh rejim Zionis Yahudi minggu lalu.

Anwar berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha.
“Serangan itu bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau,” katanya.
Anwar berkata, Qatar di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian.
Justeru tegas Perdana Menteri, menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut, dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan.
“Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, dan setiap bangsa yang dambakan keadilan serta keamanan. Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak.
“Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan maruah umat,” katanya. — Edisi 9

