Tuesday, July 21, 2026

Malaysia tidak akan berpaling daripada menyokong rakyat Palestin

Apa yang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar peperangan tetapi penjajahan dalam bentuk paling zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Mesti Baca

MALAYSIA tidak akan berpaling daripada menyokong perjuangan rakyat Palestin dari dahulu sehingga ke hari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malahan menurut Anwar, dalam setiap pertemuan antarabangsa baik di Tokyo, Beijing, New Delhi mahupun Eropah, beliau tidak pernah lupa untuk membawa suara rakyat Palestin di Gaza.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar peperangan tetapi penjajahan dalam bentuk paling zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Ini bukan perbuatan manusia, ini perbuatan haiwan! Segalanya dirampas, tanah, rumah, keluarga, nyawa.

“Namun dunia yang mendabik dada tentang hak asasi dan demokrasi memilih untuk berpaling.

“Hari ini saya tegaskan, usaha belum selesai. Kita harus gandakan sokongan.

Ribuan rakyat Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin.

“Malaysia bersama rakan antarabangsa terus menyalurkan bantuan, dari rawatan perubatan hingga peluang pendidikan,”katanya dalam program Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan dana sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Malaysia untuk rakyat Palestin.

Anwar berkata, walaupun adakalanya perjuangan pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis terasa melelahkan, buntuk serta terasa tanpa harapan namun beliau percaya kepada janji Allah dan pertolongan-Nya itu pasti datang.

“Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang,”katanya.

Beliau turut membangkitkan semangat kemerdekaan yang disambut di tanah air serta beberapa negara seperti Indonesia, India dan Vietnam yang bangkit melawan penjajah untuk bersama Palestin.

“Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini,” katanya.

Anwar berkata, suara yang bergema menyatakan solidariti terhadap Palestin bukan suara parti atau mana-mana kaum tetapi suara seluruh rakyat Malaysia yang menuntut keadilan.

“Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian.

‘Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan