Thursday, July 23, 2026

Visa: PM harap Kanada pertimbang kecualikan rakyat Malaysia

Pengecualian visa merupakan langkah penting bagi memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Kanada dapat mempertimbangkan semula dasar pengecualian visa terhadap rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada beberapa negara Komanwel lain.

Harapan tersebut disampaikan semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri baharu Kanada, Mark Carney, yang dihubungi Anwar untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Persekutuan Kanada baru-baru ini.

Menurut Anwar, pengecualian visa merupakan langkah penting bagi memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara dan membuka lebih banyak ruang kepada pertukaran pelbagai hala.

“Saya berharap Kanada dapat melihat semula dasar sedia ada dan mengambil pendekatan lebih inklusif, sejajar dengan semangat Komanwel dan hubungan erat Malaysia-Kanada,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Dalam perbualan sama, Perdana Menteri turut menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG Canada, yang disifatkannya sebagai simbol kerjasama kukuh dalam sektor tenaga.

“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua pihak, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif tenaga hijau dan peralihan tenaga pada masa hadapan,” katanya.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala merangkumi bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.

Sebagai anggota CPTPP, Malaysia dan Kanada menurut beliau, berkongsi iltizam memperjuangkan perdagangan bebas dan terbuka yang berasaskan prinsip multilateralisme adil dan inklusif.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan harapan agar rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan segera, demi manfaat bersama rantau Asia Tenggara dan Kanada.

Sebagai tanda mempererat hubungan dua hala, Perdana Menteri turut menjemput rakan sejawatnya itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan