Thursday, June 4, 2026

Lebih 11,000 pelajar Indonesia lanjut pengajian di IPT Malaysia

Jumlah tersebut menjadikan Indonesia sebagai penyumbang terbesar pelajar antarabangsa ke Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pendidikan tinggi serantau.

Mesti Baca

MALAYSIA terus menjadi destinasi utama pilihan pelajar Indonesia dalam melanjutkan pengajian tinggi apabila merekodkan kehadiran seramai 11,293 pelajar dari republik itu setakat Mac 2025.

Jumlah tersebut menjadikan Indonesia sebagai penyumbang terbesar pelajar antarabangsa ke Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pendidikan tinggi serantau.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, berkata angka tersebut membuktikan keyakinan tinggi pelajar Indonesia terhadap kualiti sistem pendidikan tinggi Malaysia yang kini mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Malaysia menawarkan ekosistem pendidikan yang dinamik, berdaya saing dan selari dengan keperluan semasa. Ini menjadi faktor utama pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian,” katanya sempena program Mega Ayo Kuliah di Malaysia 2025 di Jakarta semalam.

Program itu disertai 21 institusi pendidikan tinggi (IPT) dari Malaysia dan bertujuan mempromosi peluang pengajian serta biasiswa kepada pelajar Indonesia yang berminat menyambung pelajaran di negara ini.

Pengunjung pameran pendidikan Ayo Kuliah di Malaysia dapat memperoleh maklumat langsung dari IPT yang mengambil bahagian.

Anesee berada di Jakarta bagi lawatan kerja dua hari bermula 11 Julai lalu bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut beliau, KPT turut menawarkan beberapa inisiatif baharu termasuk Graduate Pass, iaitu visa khas selama setahun selepas tamat pengajian yang membolehkan pelajar antarabangsa kekal di Malaysia untuk tujuan pekerjaan, latihan atau penyelidikan.

Selain itu, pelajar Indonesia juga berpeluang memohon Malaysia International Scholarship, yang sehingga kini telah memberi manfaat kepada seramai 21 pelajar dari republik itu.

KPT turut menekankan kepentingan kerjasama rentas IPT melalui pelbagai bentuk kolaborasi termasuk penyelidikan, mobiliti pelajar dan pertukaran pensyarah. 

Sehingga Disember lalu, sebanyak 464 perjanjian kerjasama telah dimeterai antara IPT Malaysia dan Indonesia.

Dalam masa sama, platform ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) yang menghimpunkan lebih 300 penyedia biasiswa di rantau ini dengan komitmen melebihi RM19 juta turut diperkenalkan kepada pelajar Indonesia sebagai alternatif peluang tajaan pengajian.

“Malaysia tidak hanya menawarkan pendidikan berkualiti, tetapi turut menyediakan peluang pembangunan kerjaya dan jaringan serantau yang luas. Ini selaras dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara,” jelas beliau.

Malaysia menyasarkan pertambahan pelajar antarabangsa secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang dengan hasrat menjadikan negara sebagai destinasi pendidikan utama di Asia Tenggara. — Edisi 9

Related posts:

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan