PADA bahagian pertama kita sudah menyenaraikan golongan yang kerugian dalam bulan Ramadan.
Berikut sebahagian lagi golongan yang tidak tertarik dengan tawaran dan ganjaran yang Allah berikan pada bulan Ramadan:
19) Orang yang tidak mengeluarkan zakat fitrah
Mengeluarkan zakat tidak akan menyebabkan seseorang jatuh miskin. Jika ada yang merasa rugi untuk membayar kerana ia bakal dinikmati oleh orang lain, mereka adalah golongan yang rugi.
Ini disebabkan kerana zakat fitrah asasnya bertujuan untuk menyucikan diri orang yang berpuasa seperti keadaan fitrah, ia juga dapat menampung kekurangan puasa di samping dapat membantu golongan yang memerlukan menjelang Syawal.
20) Orang yang tidak memohon keampunan, bertaubat dan beristighfar
Ramadan adalah bulan keampunan. Allah SWT menjanjikan keampunan bagi hamba-hambanya yang berpuasa, beramal ibadat dan amal saleh sepanjang Ramadan.
Di samping itu juga, umat Islam digalakkan untuk beristighfar, memohon keampunan, solat taubat agar Allah SWT menerima taubat dan memberikan keampunan.
Rugi bagi orang yang berlalunya Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan daripada Allah SWT.
21) Orang yang tidak beriktikaf
Beriktikaf adalah salah satu ibadat yang dianjurkan dalam bulan Ramadan. Biasanya iktikaf dilakukan di masjid bagi mengerjakan amal ibadat. Ia digalakkan terutamanya menjelang sepuluh malam akhir Ramadan.
Mereka yang beriktikaf akan menfokuskan terhadap amal ibadat seperti solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir secara intensif. Rugi bagi mereka yang tidak mengambil peluang untuk beriktikaf di masjid dalam bulan Ramadan.
22) Orang yang tidak berdoa
Berdoa adalah bentuk permohonan seorang hamba kepada Allah SWT sama ada untuk mendapat kebaikan dunia dan di akhirat.
Dalam bulan Ramadan terdapat waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa, antaranya adalah ketika waktu seseorang berpuasa, ketika hendak berbuka puasa dan waktu sahur.
Rugi bagi orang yang sombong dan tidak mahu berdoa kepada Allah SWT ketika dalam bulan Ramadan.
23) Orang yang tidak bersahur
Bersahur ketika ingin berpuasa adalah sunat. Dalam bersahur terdapatnya keberkatan di samping seorang yang berpuasa memperolehi sumber tenaga yang mencukupi untuk melaksanakan ibadah puasa di siang Ramadan.
Rugi bagi mereka yang tidak bersahur walau dengan sebiji tamar atau air kosong kerana ia sebahagian daripada amalan sunat orang yang berpuasa.
24) Orang yang melewatkan waktu berbuka tanpa alasan
Berbuka puasa dengan segera tanpa melengah-lengahkan dengan sengaja adalah dituntut bagi orang yang berpuasa ketika masuknya waktu solat Maghrib. Ia sebagai batas pembeza antara puasa orang Islam dan bukan Islam.
Disunatkan bersegera membuka puasa kerana masih terdapat banyak rangkaian ibadat lain yang akan dilaksanakan selepas berbuka puasa seperti solat Maghrib, solat Isyak dan sunat terawih.
Rugi bagi orang yang melewatkan berbuka puasa tanpa sebab yang syar’ie.
25) Orang yang berbuka secara berlebihan
Berbuka puasa adalah wajib bagi orang yang berpuasa. Rugi bagi mereka yang berbuka puasa secara berlebihan sehingga menyebabkan rasa malas atau letih untuk solat Maghrib, Isyak dan terawih.
Pengambilan makanan berlebihan ini adalah bertentangan dengan objektif utama berpuasa, iaitu menahan nafsu secara melampau dan meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT.
26) Orang yang tidak berbakti kepada ibu bapa
Ibu bapa merupakan anugerah yang sangat istimewa. Sebagai anak, menjadi tanggungjawab untuk mengambil berat atau menjaga mereka dengan penuh kasih sayang terutama ketika mereka tua.
Dalam bulan Ramadan, anak-anak wajar mengambil berat keadaan puasa ibu bapa, makan minum, fidyah. Selain itu, anak-anak juga perlu membantu ibu dalam penyediaan juadah berbuka di dapur.
Rugi bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa tetapi tidak menghargai dan menjaganya dengan baik.
27) Orang yang tidak melaksanakan tanggungjawab kepada orang di bawah tanggungannya
Setiap orang mempunyai tanggungjawab. Seorang bapa mempunyai tanggungjawab kepada keluarganya, begitu juga suami, isteri dan anak-anak, tiapnya mempunyai tangungjawab dan hak-hak tertentu.
Rugi bagi orang yang mengabaikan mereka yng berada di bawah tanggungjawabnya ketika bulan Ramadan, umpamanya seorang suami yang mengabaikan perbelanjaan dapur, seorang bapa yang tidak menafkahi anak-anaknya dan sebagainya.
28) Orang yang tidak berbuat baik kepada jiran tetangga
Jiran tetangga merupakan orang tinggal berhampiran. Rugi bagi mereka yang bersengketa dan memutuskan tali silaturrahim dengan jiran-jiran dan tidak bermaafan ketika berada dalam bulan Ramadan.
Ini akan menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tidak tenang dan tidak ceria dalam bulan Ramadan dan menjelang Syawal.
29) Orang yang mengabaikan tanggungjawab kerana letih berpuasa
Puasa melahirkan peribadi yang sihat dan kuat. Ini kerana objektif utama puasa untuk mendisiplinkan diri umat Islam, dan menjadikan mereka kuat.
Ia bukan bertujuan untuk menghasilkan mereka yang lemah, letih, pemalas dan mengabaikan tanggung jawab.
Terdapat segelintir orang yang produktivitinya menurun dan tugasan tertangguh kerana puasa. Jadi adalah rugi bagi mereka yang berpuasa tetapi mengabaikan tanggungjawab.
30) Orang yang tidak menjaga mata
Mata merupakan anggota yang penting untuk melihat. Rugi bagi mereka yang masih melihat perkara melalaikan dan maksiat ketika berpuasa kerana ia boleh mengurangkan pahala serta boleh menyebabkan puasa menjadi sia-sia.
Sewajarnya mata dijaga dengan baik dan digunakan untuk melihat perkara yang baik dan tidak mengundang dosa seperti melihat teks al-Quran, wajah ibubapa dan anak-anak, pemandangan alam dan seumpamanya.
31) Orang yang tidak menjaga mulut.
Mulut adalah anggota yang penting untuk berkomunikasi dan juga untuk menikmati makanan dan minuman.
Rugi bagi mereka yang berpuasa tetapi masih lagi mengumpat orang lain, memaki hamun, mencarut dan mengadu domba.
Selain itu, rugi juga bagi mereka yang mengambil makanan dari sumber yang haram, atau makanan yang haram ketika berpuasa.
Sebaiknya mulut dijaga dengan elok, dihiasi dengan zikir atau selawat, dan hanya mengambil makanan dan minuman yang halal sahaja.
32) Orang yang tidak menjaga telinga.
Telinga adalah anggota yang dianugerahkan Allah untuk mendengar suara dan bunyi-bunyian.
Rugi bagi mereka yang berpuasa tetapi masih lagi menadah telinga untuk mendengar umpatan, ghibah, fitnah dan perkara yang melalaikan.
Sewajarnya telinga digunakan untuk mendengar kalamullah, hadis, percakapan yang elok, ceramah dan bunyi-bunyian yang baik.
33) Orang yang tidak menjaga hati
Hati adalah anggota yang bersifat dalaman. Ia menjadi tempat lintasan yang baik atau buruk, dan ia juga berperanan penting dalam berniat. Rugi bagi orang yang berpuasa tetapi hatinya tidak sejahtera.
Masih terdapat buruk sangka, perasaan dendam, niat buruk dan hasad dengki kepada orang lain. Walaupun ia bersifat tersembunyi, namun Allah SWT masih mengetahui niat dan motif seseorang.
Sebaiknya hati yang sejahtera akan terhindar daripada perkara-perkara buruk dan negatif.
34) Orang yang tidak menjaga akal
Akal adalah wadah untuk berfikir. Ia berperanan dalam memikirkan tentang perkara yang baik atau buruk.
Rugi bagi orang yang berpuasa tetapi masih memikirkan tentang perkara buruk dan hal buruk terhadap orang lain.
Akal yang sihat akan memikirkan tentang nikmat yang Allah anugerahkan, mentadabbur ayat al-Quran, memikirkan kebesaran Allah, perkara yang baik dan boleh mendatangkan redha Allah SWT.
35) Orang yang tidak menjaga tangan.
Tangan adalah anggota yang diciptakan Allah dengan tujuan yang khusus. Asasnya ia perlu digunakan untuk amal ibadat dan amal saleh seperti menghulurkan bantuan, bersedekah, dan melakukan kebaikan.
Rugi bagi mereka yang berpuasa tetapi tangannya masih memukul, menyakiti dan menzalimi orang, menaip kandungan fitnah dan melalaikan. Sebaiknya tangan digunakan untuk melakukan perkara yang berfaedah dan berpahala.
36) Orang yang tidak menjaga kaki
Kaki adalah anggota yang diciptakan Allah SWT dengan tujuan untuk melangkah atau berjalan.
Rugi bagi orang yang berpuasa sekiranya kakinya digunakan untuk berjalan ke tempat maksiat, melalaikan dan mengundang kemurkaan Allah.
Sewajarnya kaki digunakan untuk berjalan ke tempat yang baik seperti masjid, surau dan seumpamanya.
37) Orang yang riak dalam beribadat
Sifat riak dilarang tegas dalam Islam. Dalam zaman perkembangan teknologi kini, media sosial menjadi medium perkongsian utama.
Terdapat pelbagai bentuk perkongsian dengan motif yang tersendiri. Ada orang yang berkongsi amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadan untuk meraih pujian dalam beribadat, ada yang berkongsi dengan tujuan pemasaran dan pengiklanan, dan ada yang mempamerkan amal ibadat dan amal saleh dengan tujuan untuk memberi motivasi dan mempromosikan kebaikan.
Rugi bagi mereka yang komoditisasi dan komersialisasi amal ibadat dan amal saleh dengan tujuan untuk meraih perhatian dan pujian orang ramai.
Jelasnya, Ramadan membuka ruang pelaburan pahala yang menguntungkan. Betapa ruginya mereka yang masih diberi kesempatan menjadi tetamu Ramadan tetapi masih acuh tak acuh dalam menghargainya.
Oleh itu, rebutlah peluang keemasan yang dijanjikan Allah SWT agar kita mencapai peringkat ketakwaan, di samping memperolehi ganjaran pahala berlipat ganda, mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah serta dibebaskan daripada siksaan api neraka.
SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...