31.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Khaled jawab isu syarikat bekal senjata Israel sertai DSA/NATSEC

Mesti Baca

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjawab isu penglibatan syarikat pertahanan global tertentu yang didakwa pembekal senjata untuk Israel dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, pameran tersebut tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

Sebaliknya, jelas beliau, ia dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Turkiye, Indonesia, Emiriyah Arab Bersatu, Iran, Bosnia & Herzegovina dan Pakistan.

Berikut kenyataan penuh Mohamed Khaled berhubung isu tersebut:

Kementerian Pertahanan mengambil maklum terdapatnya desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur.

Dalam hal ini, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan perkara-perkara berikut:

  1. Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.
  2. Justeru Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.
  3. Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan.
  4. Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan.
  5. Ia membolehkan Kerajaan dari pelbagai negara dan para pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing.
  6. Pameran ini tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.
  7. Sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, UAE, Iran, Bosnia & Herzegovina dan Pakistan.
  8. Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura.
  9. DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur. Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya.

Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

Advertisements

Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin.

Sebelum itu, Ketua Biro Antarabangsa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mahu kerajaan mengharamkan penglibatan dua syarikat pro Israel, Lockheed Martin dan BAE daripada menyertai dan menjadi penaja platinum (NATSEC) Asia 2024.

Ini kerana, menurut beliau dua syarikat tersebut membekalkan senjata dan peralatan kepada Israel yang sedang melakukan genosid ke atas Palestin, terutamanya di Gaza.

Untuk rekod, DSA/NATSEC Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pameran itu akan berlangsung bermula semalam sehingga 9 Mei. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan