29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemimpin itu dalam kenyataan berasingan tetapi bernada serupa berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbang kesan saman fitnah tersebut kepada umum serta mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi.

“Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah ini kepada umum dan setelah mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi serta keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dan YB Tan Sri Datuk Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yassin bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman No. WA-23CY-21-04/2022,” kata mereka.

Kenyataan itu berkata, Zahid yang juga Presiden UMNO dan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai Mahkamah yang terlibat.

Selain itu, mereka juga berharap agar keputusan tersebut dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak serta tidak dijadikan bahan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman negara.

Advertisements

Kronologi kes ini berdasarkan pernyataan tuntutan, Zahid, 71, berkata Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lalu.

Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Sementara itu, Muhyiddin, 76, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lepas mendakwa kenyataan beliau bahawa Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.

Pengerusi PN itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi,...

Lagi Artikel Berkaitan