25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

Mesti Baca

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, KPKM memaklumkan bahawa perkara itu susulan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) cawangan Temerloh yang telah turun ke lokasi kejadian.

“KPKM memandang serius akan isu tular yang berlaku dan telah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB cawangan Temerloh di lapangan.

“Turut hadir ke lokasi ialah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan lokasi kejadian ialah di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Kuala Krau.

Menurut KPKM, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah dirujuk dengan pihak KPB KPKM.

Advertisements

Kementerian itu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara berkenaan masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Semalam, tular di media sosial beberapa gambar kampit beras, tin sardin, tepung dan barangan makanan yang dibuang di kawasan pembuangan sampah, sehingga mendapat pelbagai maklum balas negatif daripada warganet.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said menjelaskan, beras dan barangan dapur yang dibuang di tapak pelupusan sampah itu adalah stok simpanan pihanya yang sentiasa disediakan bagi keperluan masyarakat.

Beliau berkata, bagaimanapun stok beras dan barangan dapur yang disimpan di stor simpanan itu terpaksa dibuang pada 5 April lalu kerana sudah rosak dan berbau busuk, selain dimakan tikus.

“Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pembelian barangan dapur tersebut tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang atau peruntukan barangan dalam tempoh COVID-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan