31.2 C
Kuala Lumpur
Friday, May 10, 2024

Filem ‘Rain Town’ angkat kisah konflik kekeluargaan

Mesti Baca

SELEPAS mencipta nama menerusi filem Redha yang bertemakan tentang autisme pada tahun 2016, pengarah Tunku Mona Riza Tunku Khalid kini kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Rain Town.

Masih mengangkat kisah kekeluargaan, filem baharu terbitan Current Pictures Sdn Bhd ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dihasilkan dalam bahasa Kantonis dan diarahkan oleh seorang pengarah Melayu.

Dengan penghasilan filem berkenaan, ia secara tidak langsung menobatkan beliau sebagai Pengarah Wanita Melayu Pertama mengarahkan filem Kantonis dan pastinya memberikan keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Tunku Mona Riza berkata, idea untuk menghasilkan Rain Town bermula apabila dia dimaklumkan oleh seorang jurugambar pada tahun 2016 mengenai rain betting atau bertaruh dengan meneka waktu hujan yang pernah berlaku suatu masa dahulu di Taiping, Perak.

“Ketika itu saya sangat tertarik dengan kisah rain betting kerana ia satu cerita yang unik, namun tidak bermaksud saya mahu hasilkan sebuah cerita tentang pertaruhan.

“Sebaliknya, saya wujudkan satu karakter bernama Choo yang suka bertaruh serta seorang bapa yang suka mengaturkan kehidupan anak-anak yang sudah meningkat dewasa sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga mereka,” katanya.

Filem Rain Town diterajui dua pelakon hebat tanah air iaitu Chew Kin Wah dan Susan Lankester serta barisan pelakon lain seperti Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Tunku Mona Riza berkata, tajuk Rain Town dipilih memandangkan lokasi penggambaran dilakukan di Taiping yang diketahui sebagai kawasan menerima taburan hujan paling banyak di Malaysia.

Jelasnya, jalan cerita filem ini juga hanyalah rekaan dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu, namun mengakui konflik yang sadipaparkan memang ada berlaku dalam sesebuah keluarga.

Dalam pada itu, Tunku Mona Riza menyatakan dia berminat untuk menghasilkan sebuah filem berbahasa Kantonis kerana mahukan satu cabaran baharu buat dirinya.

“Sebagai seorang pengarah saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk diri sendiri dan saya seorang yang sentiasa seronok mendengar bahasa-bahasa berbeza.

Advertisements

“Sebelum ini, saya pernah mengarahkan iklan dalam bahasa berbeza seperti Mandarin, Kemboja dan Vietnam.

“Malah, Super Telemovie pertama saya berjudul Uri ada menggunakan bahasa Iban, manakala Super Telemovie kedua saya iaitu Parit Jawa juga banyak menggunakan bahasa Jawa.

“Kini saya berpeluang pula menghasilkan sebuah filem berbahasa Kantonis,” katanya.

Beliau berkata, sebelum memulakan penggambaran filem berkenaan, segala persiapan awal juga telah dilakukan, termasuk berjumpa dengan penterjemah bahasa Cina.

Bercerita mengenai cabaran pula, beliau yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-29 berkata, sepanjang pembikinan Rain Town semuanya berjalan lancar kerana memiliki sebuah pasukan produksi yang mantap.

“Pada saya, cabaran yang dihadapi bukanlah sekadar dari sudut pembikinan sahaja, tetapi penerimaan penonton terhadap naskhah ini.

“Biarpun ia filem berbahasa Kantonis, cabaran sebenar adalah untuk menarik penonton bukan sahaja dari kaum Cina, malah kaum-kaum lain juga menonton filem ini di pawagam nanti.

“Selain itu, secara peribadi saya juga meletakkan harapan agar Rain Town dapat dijadikan inspirasi kepada pengarah-pengarah lain untuk cuba menghasilkan sebuah naskhah yang berbeza dari sudut bahasa dan budaya mereka,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang memberikan sokongan sehingga filem berkenaan berjaya dihasilkan.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi Dan Digital dan FINAS atas sokongan yang diberikan menerusi Dana Kandungan Digital untuk penerbitan Rain Town,” katanya.

Filem Rain Town akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 Februari 2024 sempena sambutan Tahun Baharu Cina. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua helikopter TLDM terhempas dalam keadaan ‘airworthy’

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90...

Lagi Artikel Berkaitan