27.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024

PFM sokong inisiatif kerajaan isu harga ubat

Mesti Baca

PERSATUAN Farmasi Malaysia (PFM) menyokong kuat inisiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan ketelusan harga ubat dengan memaparkan harga ubat kepada orang awam.

Presidennya, Prof Amrahi Buang berkata, PFM percaya bahawa objektif di sebalik inisiatif sedemikian akan memberi manfaat kepada orang awam supaya mereka mengetahui harga yang perlu dibayar, dan keupayaan mereka untuk membuat pilihan akan memberi kuasa kepada mereka mengawal kesihatan dan kos sara hidup.

“Selama bertahun-tahun, profesion farmasi telah menerajui amalan ketelusan harga terhadap orang awam. Ahli farmasi dan farmasi komuniti telah lama memberikan maklumat yang jelas dan ringkas kepada pesakit mengenai kos ubat.

“Komitmen yang berterusan ini menunjukkan kepentingan aksesibiliti dan ketelusan dalam penjagaan kesihatan, sekaligus mengukuhkan pendirian masyarakat untuk memberi kuasa kepada pesakit bagi membuat keputusan yang berinformasi mengenai penjagaan kesihatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam dialog terkini oleh KKM dengan pihak-pihak berkepentingan, PFM menyatakan bahawa dengan menyediakan maklumat harga ubat yang jelas dan mudah diakses melalui paparan harga ubat, pesakit dengan mudah dapat menilai harga ubat, membandingkan kos yang ditawarkan antara penyedia perkhidmatan, memilih opsyen rawatan yang mampu, dan menguruskan kos penjagaan kesihatan mereka secara berkesan.

“Secara keseluruhannya, paparan harga ubat akan memberi orang awam kawalan ke atas kos sara hidup mereka dan meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan.

“Ini selaras dengan Tonggak Ketiga dalam Kertas Putih Kesihatan Malaysia, yang bertujuan untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang mampan dan saksama,” katanya.

Beliau berkata, PFM juga percaya bahawa pesakit perlu diperkasa dari segi pengetahuan mengenai ubat yang telah diberi.

Advertisements

“Oleh itu, kami terus memohon dan menyeru agar polisi penulisan preskripsi secara mandatori dapat dilaksanakan supaya pesakit mempunyai rekod bertulis tentang ubat yang diberi.

“Pelabelan ubat secara tepat dan lengkap serta pengebilan bayaran secara terperinci perlu dititikberatkan dari segi ketelusannya.

“PFM memperjuangkan agar penyedia insurans dapat meliputi pembiayaan rawatan ubat dari farmasi dalam skop insurans untuk memastikan agar akses diberikan secara adil terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Dengan meluaskan liputan insurans terhadap ubat yang dibeli dari farmasi, pesakit dapat menerima rawatan ubat secara mampu, sekaligus menggalakkan pematuhan terhadap rawatan, serta meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan,” katanya lagi.

Akses kepada ubat adalah komponen utama dalam Dasar Ubat Nasional (DUNAS) yang telah berkuatkuasa sejak tahun 2007.

Pendekatan proaktif ini memupuk ekosistem penjagaan kesihatan yang bersifat kolaboratif, menggiatkan kerjasama antara ahli farmasi, penyedia insurans, dan pesakit, yang akan menambah baik tahap kesihatan awam dan kos sara hidup.

“Secara keseluruhannya, kami percaya bahawa kerajaan dengan segera perlu menetapkan Skim Perubatan Kebangsaan yang mampu membawa bersama-sama sektor kesihatan kerajaan dan swasta untuk menyediakan penjagaan kesihatan terbaik kepada orang awam dengan penggunaan sumber secara paling berkesan.

“Kami kesal apabila terdapat beberapa pihak dalam sesi dialog terkini menentang dasar ini dan PFM percaya bahawa sebarang bantahan oleh mana-mana pihak sememangnya bertentangan dengan kepentingan dan kesejahteraan orang awam dan usaha kerajaan yang murni dalam menguruskan kos sara hidup rakyat,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan