SEBANYAK 21 kenderaan ditunda dan 16 lagi kenderaan diangkut kerana didapati membuat kesalahan halangan lalu lintas dalam Operasi Bersepadu Halang Siri 5/2023 yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekitar ibu negara semalam.
Operasi menerusi Pegawai Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu dijalankan di sekitar Setapak Sentral, Maxim Citylight dan KL Traders Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.
DBKL berkata, menerusi tindakan operasi bersepadu bersama JSPT kali ini, sejumlah 197 buah kenderaan telah diperiksa secara menyeluruh.
“DBKL mengeluarkan 122 notis kompaun, 21 tindakan tunda dan 16 tindakan angkut terhadap pemilik dan pemandu kenderaan yang membuat kesalahan halangan lalu lintas.
“Ia termasuk meletak kenderaan di laluan awam dan tempat yang tidak dibenarkan menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan yang ditunda telah dibawa ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk penyimpanan sementara dan proses dokumentasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
DBKL berkata, bagi pihak JSPT pula, telah mengeluarkan 49 notis kompaun pelbagai kesalahan lalulintas keatas kenderaan yang melakukan kesalahan.
Katanya, tindakan bersepadu ini, akan diteruskan dilokasi tumpuan (hotspot) yang lain.
“Oleh demikian, pengguna jalan raya diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalulintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa,”katanya. – Edisi 9