25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Sekolah kurang murid tidak akan ditutup – KPM

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak bercadang untuk menutup sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah murid yang kurang daripada 30 orang murid atau lebih dikenali sebagai sekolah kurang murid (SKM). 

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, terdapat 3,049 sekolah rendah yang mempunyai enrolmen 150 orang murid dan ke bawah yang menepati definisi SKM sehingga bulan lalu.

Katanya, bilangan tersebut tidak mengambil kira Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas, SK (Asli), Sekolah Model Khas, Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“KPM telah merangka beberapa strategi bagi menangani isu SKM di bawah inisiatif Pelaksanaan Pelan Hala Tuju SKM. 

“Strategi tersebut termasuk pelaksanaan kelas bercantum dengan pengajaran dan pembelajaran pelbagai gred, penggabungan SKM, pemindahan atau penempatan semula SKM serta pengekalan SKM atas keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai cadangan menutup sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah murid yang kurang daripada 30 orang murid.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, strategi pelaksanaan kelas bercantum dengan pengajaran dan pembelajaran pelbagai gred dilaksanakan dengan melibatkan percantuman kelas tahun dua dengan tahun tiga dan empat dengan tahun lima di sekolah berenrolmen 30 murid dan ke bawah.

Advertisements

Katanya, strategi penggabungan sekolah pula dilaksanakan dengan menggabungkan dua atau lebih sekolah yang sama jenis dalam lingkungan lima kilometer (km). 

“Walau bagaimanapun, penggabungan SKM dalam kawasan penempatan yang sama ini tertakluk kepada persetujuan bertulis ibu bapa atau penjaga secara majoriti.

“Bagi SKM yang tidak boleh digabungkan atau dipindahkan seperti SKM di kawasan pedalaman dan pulau, sekolah berkenaan akan dikekalkan demi memastikan kelangsungan pendidikan kepada murid yang tinggal di lokasi berkenaan,” kelasnya.

Menurut Fadhlina, strategi pemindahan atau penempatan semula SKM ke lokasi baharu di kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi dilaksanakan bagi membantu untuk meningkatkan enrolmen SKM. 

Ujar beliau, strategi itu dilaksanakan sekiranya SKM memenuhi kriteria seperti tapak baharu telah dikenal pasti dan persetujuan bertulis ibu bapa atau penjaga murid secara majoriti diperoleh.

“KPM berkeyakinan bahawa menerusi strategi yang telah digariskan dan dilaksanakan di bawah Pelan Hala Tuju SKM tersebut, isu SKM akan dapat ditangani dan sumber pendidikan yang dibekalkan oleh KPM dapat dioptimumkan serta dapat dimanfaatkan oleh murid. 

“Kementerian akan terus meneliti pendekatan terbaik bagi memastikan aspirasi sistem pendidikan berkaitan akses, ekuiti dan kualiti yang dilaksanakan di semua institusi pendidikan termasuklah di SKM dapat direalisasikan secara berkesan,” katanya. –  Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan