32.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

RM168.7 juta tangani kesesakan di Tambak Johor – Fadillah

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM168,701,700 untuk melaksanakan empat inisatif baharu di bawah Fasa 3 bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia merangkumi tiga projek fizikal dan pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk ke negara ini.

Katanya, pemberian insentif tersebut melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7,932,000 setahun kepada anggota terlibat.

“Peruntukan itu termasuk tambahan 77 M-Bike dengan kos keseluruhan sebanyak RM61,709,380 merangkumi 44 M-Bike di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan anggaran kos sebanyak RM33,989,380 dan 33 M-Bike di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dengan anggaran kos tambahan sebanyak RM27,720,000.

Jumlah pengembara yang melalui ICQS meningkat setiap tahun khususnya pasca COVID-19. – Edisi9/KDN

“Tambahan bilangan M-Bike ini adalah sebagai langkah ke hadapan bagi mengimbangi peningkatan pengguna motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 2 2023 secara atas talian hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Terdahulu, kesemua yang hadir melakukan lawatan ke ICQ BSI memantau usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pelbagai kementerian dan agensi bagi menangani isu kesesakan trafik dan penjalan kaki di pintu masuk utama darat Malaysia-Singapura itu.

Fadillah berkata, inisiatif kedua ialah penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB berjumlah RM106,992,320.

Advertisements

“Jumlah ini melibatkan tiga projek di Fasa 2 yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Bilangan 1 2023 pada 6 Mac lalu.

“Namun terdapat peningkatan kos dan pertambahan skop dalam projek tersebut.

“Inisiatif lain adalah pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor dengan anggaran kos yang akan diperincikan kemudian,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen adalah untuk menjaga kebajikan anggota dan selari dengan konsep Ihsan di bawah kerangka Malaysia Madani.

“Perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperhalusi perkara ini bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perluasan pemberian insentif kepada pegawai Imigresen di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Fadillah Yusof (di skrin) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 2 2023 secara maya hari ini. – Edisi9/KDN

Fadillah berkata, berdasarkan statistik, jumlah pengembara di kedua-dua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) BSI dan KSAB adalah seramai 71 juta pada tahun lalu.

Namun katanya, sehingga September 2023, jumlah pengembara di kedua-dua ICQS telah mencapai 98 juta dan dijangka terus meningkat kepada sekitar 136 juta pada penghujung 2023, menyamai statistik pada 2019 (pra COVID-19).

“Jumlah pengembara ini dijangka meningkat pada kadar 15 peratus setahun dan dianggarkan seramai 157 juta pengembara akan melalui kedua-dua pintu masuk menjelang 2025.

“Mengambil kira kekurangan anggota Imigresen yang bertugas di kaunter manual, keperluan kepada autogate amat membantu dalam menangani peningkatan pengembara khususnya pada waktu puncak. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Ramasamy, Fadhil amal kempen menyesatkan – Puad Zarkashi

PRESIDEN Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhil Shaari dianggap mengamalkan kempen...

Lagi Artikel Berkaitan