CUBAAN sembilan pendatang asing tanpa Iizin (PATI) warga Indonesia menceroboh perairan negara gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua mereka ditahan ketika cuba memasuki negara ini melalui perairan Tanjung Rhu, Selangor.
Katanya, pergerakan mencurigakan mereka dikesan Sistem Pengawasan Laut (Swasla) dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju ke Tanjung Tumbuk.
“Bot ronda Maritim Malaysia berjaya memintas bot suspek di kedudukan di Tanjung Rhu, Selangor sekitar pukul 1 pagi semalam.
“Pemeriksaan mendapati seorang tekong, tiga awak-awak dan lima penumpang warganegara Indonesia dipercayai PATI masing-masing berumur antara 23 hingga 47 tahun berada di dalam bot terbabit,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Iskandar berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini melalui pintu yang tidak diwartakan.
“Bot dan suspek ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat dibawah dibawah Akta Imigresen 1959/63.
“Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat daripada sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan negara,” katanya. – Edisi 9