27.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

RUU Tanggungjawab Fiskal dibentang di Parlimen bulan depan

Mesti Baca

RANG Undang-undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan dijangka dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, keputusan untuk membentangkan FRA dengan kadar segera itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPD) yang dipengerusikan beliau petang tadi.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa FRA yang akan digubal itu bersesuaian dengan konteks di negara ini.

“Saya mengingatkan ahli-ahli jawatankuasa seyogianya usaha kita untuk merombak pengurusan fiskal negara tidak boleh mendatangkan kesan mendadak kepada ekonomi Malaysia dan rakyat, yang sudah tentu masih lagi bergelumang dalam masalah kos sara hidup tinggi.

“Memang benar reformasi fiskal perlu dibuat untuk mengembangkan hasil kerajaan dan mengurangkan ketirisan daripada perbelanjaan subsidi menyeluruh, agar kerajaan mempunyai lebih banyak dana untuk perbelanjaan pembinaan prasarana dan bantuan bersasar.

“Namun, saya telah menitik berat tentang menjaga rakyat kurang bernasib baik semasa kerajaan melakukan konsolidasi fiskal berperingkat yang mungkin memedihkan pada mulanya,” kata Perdana Menteri.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, adalah menjadi mandat Kerajaan Perpaduan untuk sentiasa melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat.

Advertisements

“Malaysia akan secepat mungkin kembali gah sebagai pelopor ekonomi serantau dengan rakyatnya mempunyai kualiti hidup bermakna, seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani,” kata beliau menerusi akaun media.

Sebelum ini Rafizi berkata, kerajaan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negara ini.

Beliau berkata, segalanya berpandukan kepada strategi kerajaan dalam mencapai dan memperluaskan hasil pendapatan negara.

Katanya, ini termasuk fokus kepada membangunkan Cukai Keuntungan Modal yang dijadualkan bakal dikuatkuasakan pada 2024.

“Kerajaan akan berpegang kepada strategi kami dan terbuka untuk melaksanakan apa jua cara bagi mencapai kemampanan fiskal melalui sumber yang lebih luas.

“Oleh itu, sama ada ia akan menjadi GST, Cukai Keuntungan Modal atau sebarang bentuk cukai langsung dan tidak langsung, kami hanya akan memutuskan berdasarkan kes ke kes atau tahun ke tahun.

“Sebarang pengumuman berkenaan pengenalan cukai akan dibuat Menteri Kewangan menerusi pembentangan bajet,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kardinal lancar koleksi vape edisi Lumina kurang nikotin

JENAMA rokok elektronik atau vape, Kardinal tampil memperkenalkan koleksi terbaharu mereka iaitu Lumina. Lumina didatangkan ekslusif dalam edisi Raya Discovery Pack Untuk Lumina yang...

Lagi Artikel Berkaitan