31.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Isu bekalan beras: Kerajaan digesa kemuka pelan komprehensif

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan untuk mengemukakan suatu pelan komprehensif dalam mengatasi masalah bekalan beras tempatan yang dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa mempunyai makanan di atas meja.

“Ini termasuk tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat dan menyeluruh untuk memastikan tidak ada pihak yang memanipulasi rantaian bekalan beras tempatan, menambah stockpile beras negara dan meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negara.

“Tindakan secara ad-hoc seperti yang diambil pada masa ini tidak memadai untuk menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi dan boleh dibeli pada harga yang berpatutan oleh rakyat,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Muhyiddin berkata, isu kekurangan beras putih tempatan nampaknya masih belum selesai walaupun telah berlarutan agak lama.

“Rakyat masih merungut tentang kesukaran untuk membeli beras tempatan di kedai-kedai runcit dan pasaraya.

“Oleh kerana beras tempatan sukar diperolehi di pasaran, ramai yang beratur panjang untuk membeli beras di lokasi-lokasi jualan yang diusahakan oleh FAMA. Keadaan ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini,”katanya.

Kata beliau, perkembangan ini amat membimbangkan kita memandangkan beras adalah makanan ruji rakyat.

Advertisements

“Menurut Laporan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih, ‪2018-2022‬ yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, Malaysia memerlukan 2.68 juta tan beras setahun. Daripada jumlah ini, 1.11 juta tan adalah beras yang diimport.

“Ini bermakna, sekitar 40 peratus bekalan beras di negara kita bergantung kepada import beras dari negara-negara pengeluar beras seperti Thailand, Vietnam, Pakistan dan India.

“Masalah bekalan beras menjadi lebih meruncing apabila negara pengeluar beras mengenakan sekatan eksport beras. Sepertimana yang berlaku pada masa ini, India telah menyekat eksport beras putih kerana negara itu sendiri sedang menghadapi krisis bekalan beras.

“Ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada risiko kekurangan bekalan beras dan ketidakstabilan harga beras yang disebabkan samada oleh kekurangan bekalan beras dunia atau kadar pertukaran wang asing yang berubah-ubah.

“Selain itu, pengeluaran beras dalam negara juga semakin merosot. Pada tahun 2021, negara kita mengeluarkan 1.68 juta tan beras tetapi telah merosot kepada 1.57 juta tan pada tahun 2022.

“Kerajaan mesti memandang serius masalah ini. Ia mungkin permulaan kepada suatu krisis yang lebih besar pada masa hadapan.

“Kita tahu bahawa perubahan iklim dunia telah menyebabkan kemarau dan banjir di banyak negara yang menjejaskan pengeluaran bahan makanan termasuk beras.

“Dalam keadaan negara kita masih bergantung kepada import bahan makanan yang tinggi, kekurangan pengeluaran bahan makanan di negara-negara yang terjejas dengan perubahan iklim akan menjejaskan bekalan makanan di negara kita,”ujar beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan