31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Tiga faktor utama pengundi Melayu tolak calon UMNO

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh AZIZI MAJID

PILIHAN Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri iaitu empat di Pantai Barat dan dua negeri lagi di Pantai Timur Semenanjung sudah berakhir Sabtu lalu.

Keputusan menyaksikan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) masing-masing menguasai tiga negeri.

PN membabitkan Bersatu, Pas dan Gerakan mempertahankan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala PH-BN mewakili Kerajaan Perpaduan mempertahankan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Di atas kertas, keputusan tersebut sememangnya sudah dijangka memandangkan gelombang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada November tahun lalu masih lagi terbawa sehingga kini.

Bagaimanapun terdapat isu yang menarik untuk dikupas iaitu faktor kekalahan calon-calon Barisan Nasional (baca: UMNO) yang mana daripada 108 calon yang dipertaruhkan, parti itu hanya memenangi 19 kerusi atau kira-kira 17 peratus sahaja.

Dalam hal ini penulis melihat tiga isu yang dimainkan oleh PN berjaya menarik sokongan terhadap parti itu, manakala UMNO pula dilihat gagal menangkis serangan ‘peluru’ tersebut dengan sebaiknya.

1. Sentimen Melayu-Islam

Sebelum ini UMNO merupakan ‘jaguh’ dalam memperjuangkan Melayu dan Islam. Tidak hairan parti itu menjadi pilihan sebahagian besar orang Melayu, ditambah dengan sejarah penubuhannya juga kerana memperjuangkan kepentingan Melayu.

Walau bagaimanapun, sejak pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP, UMNO dimomokkan sebagai parti yang telah meninggalkan asas penubuhannya.

Pas yang sebelum ini menggelarkan UMNO sebagai asabiyyah (عصبية) kerana memperjuangkan orang Melayu, dilihat cuba mengambil alih peranan tersebut.

Zahid Hamidi memberi taklimat kepada 3,000 perwakilan UMNO sempena PAU 2022 di WTC Kuala Lumpur.

Sepanjang kempen PRN, Bersatu dan Pas begitu agresif menuduh UMNO sebagai parti yang sudah hilang jati diri dan meninggalkan asas perjuangannya.

Manakala bekas pemimpin UMNO yang kini beralih ke parti lawan, juga menggunakan peluru sama untuk menjatuhkan bekas parti tempat mereka bernaung sebelum ini.

Paling agresif ialah Tan Sri Annuar Musa yang menggunakan platform Pas untuk menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO sendiri. Begitu juga dengan Tan Sri Noh Omar.

Ini menambah keyakinan orang Melayu termasuk kalangan ahli UMNO dan penyokong parti itu sendiri, yang yakin bahawa UMNO tidak lagi relevan sebagai parti perjuangan Melayu dan Islam.

Walaupun UMNO cuba memperbetulkan persepsi tersebut sepertimana ditegaskan oleh Zahid sendiri bahawa penubuhan Kerajaan Perpaduan turut disertakan dengan perjanjian terutama dengan DAP.

Dalam perjanjian tersebut, UMNO dengan tegas menekankan bahawa empat perkara tidak boleh disentuh oleh mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Empat perkara itu ialah tentang agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, soal raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu serta bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Advertisements

Namun, naratif ini gagal meyakinkan pengundi Melayu.

2. Penolakan kerjasama UMNO-DAP

Selama berpuluh tahun orang Melayu khususnya dalam kalangan penyokong UMNO begitu anti kepada DAP ekoran momokan bahawa parti itu bersifat chauvenis dan membawa slogan Malaysian Malaysia.

Manakala UMNO sendiri melaungkan slogan ‘No Anwar, No DAP’ sebelum PRU-15 tetapi akhirnya memilih untuk bergandingan dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dan kemudian memasuki PRN secara bersama.

Pas pernah bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

Hal ini tidak boleh diterima oleh orang Melayu, penyokong UMNO dan juga ahli-ahli UMNO sendiri.

Ekoran itu, wujud penolakan terhadap calon daripada UMNO secara besar-besar menyebabkan parti itu kehilangan sokongan kalangan pengundi Melayu.

Tindakan Zahid yang dilihat begitu lunak dengan DAP menguatkan lagi penolakan tersebut.

3. Hilang keyakinan terhadap kerajaan Anwar-Zahid

Kerajaan Perpaduan gandingan Anwar-Zahid dimomokkan sebagai sebuah kerajaan gagal kerana dikatakan gagal menguruskan ekonomi sepanjang hampir sembilan bulan mentadbir Putrajaya.

Anwar yang ketika mengetuai pembangkang sebelum begitu lantang menjanjikan untuk menurunkan harga barang terutama petrol sekiranya menjadi Perdana Menteri, gagal berbuat demikian.

Kegagalan Anwar mengotakan janji-janji beliau sebelum ini nyata membawa getah kepada UMNO apabila para pengundi terutama orang Melayu menolak kerajaan hari ini menerusi kertas undi.

Anwar yang sudah melakukan pelbagai usaha untuk menjadi Perdana Menteri selama lebih 30 tahun, namun gagal membawa dasar-dasar yang jelas untuk menaikkan ekonomi negara dan rakyat.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbisik sesuatu ketika Perhimpunan Agung UMNO 2023 di WTCKL hari ini. – Edisi9/UMNO Online

Penolakan rakyat terhadap Anwar ternyata terpalit juga terhadap UMNO yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Penulis tidak menolak kemungkinan wujudnya faktor-faktor lain seperti tawaran wang ringgit kepada pengundi, pengaruh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Mohd Nor dan lain-lain.

Tapi itu semua adalah faktor-faktor tambahan yang menguatkan lagi penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO.

Kesimpulannya, UMNO perlu berbuat sesuatu untuk menarik balik sokongan orang Melayu terhadap parti itu dalam PRU-16 empat tahun lagi.

Parti itu perlu meletakkan dirinya kembali ke asas perjuangannya yang asal dan jangan biarkan peranan itu diambil oleh Bersatu mahupun Pas.

Ini kerana penulis dapati orang Melayu masih sayangkan UMNO, sayang kepada perjuangannya. Cuma UMNO dilihat berubah sejak pasca-PRU-15 lalu.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan