32.3 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Filem Walid angkat isu penculikan kanak-kanak

Mesti Baca

BERIKUTAN kejayaan yang dicapai menerusi filem Geran pada tahun 2019, Layar Pictures dengan bangganya kembali menerbitkan sebuah lagi filem aksi berjudul Walid.

Mengangkat isu penculikan kanak-kanak, Walid adalah sebuah filem aksi yang sarat dengan elemen seni mempertahankan diri iaitu silat.

Penerbit yang juga pengarahnya, Areel Abu Bakar berkata, untuk filem terbaharu ini, dia masih lagi mengangkat seni silat sebagai elemen aksi kerana secara peribadi dia memang meminati ilmu seni mempertahankan diri.

“Filem adalah salah satu medium untuk mempromosikan tentang sesuatu perkara dan sebab itu saya jadikan filem Walid ini sebagai medium menarik lebih ramai terutama sekali anak-anak muda mempelajari silat.

“Walid bukan sekadar sebuah filem aksi semata-mata, malah ia turut mengangkat isu kemanusiaan dan kenegaraan dengan menerapkan silat yang juga warisan budaya sebagai ‘ramuan’ utama,” katanya.

Areel berkata, filem ini menyoroti betapa pentingnya pendidikan kerana sesetengah ahli masyarakat ditolak hak untuk mencari pengetahuan.

“Walid juga menggambarkan isu penting pemerdagangan manusia di mana kanak-kanak digunakan untuk menjadi komoditi dalam pasaran hitam global,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi.

Areel berkata, penggambaran filem dilakukan di Kedah sekitar Februari 2022 iaitu ketika negara baru sahaja berakhir dengan pandemik Covid-19.

Istimewanya tentang filem ini, rata-rata barisan pelakonnya mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri.

“Untuk filem Walid, saya memang memilih pelakon yang ada ilmu silat kerana ia bergantung kepada keperluan skrip memandangkan ia adalah sebuah filem aksi.

“Boleh dikatakan 99 peratus pelakon yang terbabit dalam aksi pertarungan adalah pesilat sebenar dan itu yang menjadi kelebihan kepada filem Walid untuk menarik minat penonton,” katanya.

Advertisements

Areel berharap penonton dapat menerima karya baharunya itu, sama seperti filem arahannya sebelum ini.

“Selain terhibur dengan cerita yang dipaparkan, saya harap penonton dapat melihat sisi lain kepada nakshah ini, terutama sekali dalam mengangkat warisan seni budaya kita sendiri sehingga ke luar negara.

“Malah, ia juga dibuktikan apabila filem Walid ini sudah ditayangkan di negara seperti Amerika Syarikat dan menunjukkan seni mempertahankan diri silat ini mampu menarik perhatian pihak luar,” katanya.

Sementara itu, Namron berkata, dia setuju menerima tawaran berlakon filem ini kerana plot ceritanya yang menarik.

“Saya melihat Areel sebagai pengarah yang sangat berbakat dan mampu menghasilkan filem yang memenuhi selera penonton.

“Bekerja di bawah arahan Areel bagi saya dia seorang pengarah yang tenang, tetapi mempunyai semangat seorang prajurit Malaysia yang tidak pernah menyerah,” katanya.

Diterbitkan oleh Layar Pictures Sdn Bhd Walid akan ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia pada 14 September depan.

Filem Walid juga telah ditayangkan Amerika Syarikat iaitu di Cine Village, New York pada 28 Julai hingga 3 Ogos dan Leammle Glendale, Los Angeles pada 11 Ogos hingga  17 Ogos.

Walid mengisahkan seorang guru yang baik hati dan berdedikasi yang secara sukarela mengajar kanak- kanak yang kurang beruntung di sebuah kampung.

Setiap kanak-kanak mempunyai masa depan yang cerah di hadapan mereka namun segala-galanya berubah selepas beberapa pelajar beliau hilang daripada kelas.

Dengan tanda- tanda dan petunjuk yang tersisa, beliau menjejaki penculik dengan bantuan ‘kawan-kawan’nya. Adakah murid- murid itu masih hidup? Adakah dia akan menemui mereka?. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Balai polis Ulu Tiram diserang, dua anggota, suspek maut

DUA anggota polis maut manakala seorang cedera akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis...

Lagi Artikel Berkaitan