28.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

KKD peruntuk RM3.9 bilion untuk projek PoP Fasa 2

Fasa dua projek itu yang telah pun dimulakan Disember tahun lepas dijangka dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 432,300 premis yang akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila ia siap kelak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK RM3.9 bilion diperuntukkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi meneruskan pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) Fasa 2, melibatkan 3,693 tapak PoP di lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan fasa satu bagi projek berkenaan melibatkan 630 lokasi dijangka selesai hujung tahun ini.

“Manakala, fasa dua projek itu yang telah pun dimulakan Disember tahun lepas dijangka dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 432,300 premis yang akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila ia siap kelak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PoP Zon Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Haji Adnan hari ini.

Beliau berkata, sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi itu akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas dan membolehkan ilmu pengetahuan lebih mudah dikongsi dan dipraktikkan.

“Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan ekonomi berasaskan ekonomi digital di luar bandar dan mereka boleh menjalankan pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian menerusi capaian rangkaian internet yang lebih berkualiti dan menyeluruh,” katanya.

Jelasnya, inisiatif PoP itu adalah antara komitmen kerajaan dalam menggalakkan penerimagunaan teknologi digital oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Advertisements

Fahmi berkata, usaha itu juga bertujuan mempersiapsiagakan rakyat dengan kemahiran digital bagi merapatkan kesenjangan digitalisasi serta memperkasakan infrastruktur telekomunikasi negara sekali gus memenuhi keperluan negara dalam memacu ekonomi digital.

Menurutnya, projek PoP yang dilaksanakan di lokasi berhampiran sekolah luar bandar dan pedalaman seperti di SMK Dato’ Undang Haji Adnan yang berfungsi sebagai hab penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik, bukan sahaja untuk kegunaan sekolah, namun turut memberi manfaat terhadap kawasan perindustrian dan premis kerajaan di sekitarnya.

Selain itu, katanya komuniti sekitar juga berpeluang menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.

“Kelajuan perkhidmatan Internet yang disediakan akan turut menjadi penanda aras bagi penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan infrastruktur dan utiliti termasuk Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan Smart Grid yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata setakat semalam, sebanyak 36 lokasi dengan 3,744 premis di Negeri Sembilan telah dilengkapi dengan kemudahan PoP dan sedia untuk dilanggan dengan tujuh daripadanya dibina di Parlimen Rembau.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan komited untuk terus mempersiapkan rakyat dengan kemahiran terkini, sesuai dengan era digitalisasi dan mengharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam usaha merealisasikan hasrat negara menuju ke Dekad Keemasan Digital. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK KKB: 97 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

SEBANYAK 97 peratus daripada 769 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada...

Lagi Artikel Berkaitan