MALAYSIA mengulangi komitmen dan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam menentang kekejaman rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sempena memperingati Hari Nakba ke-75, Malaysia utuh dalam pendiriannya mengutuk pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin serta penindasan ke atas rakyatnya.
Katanya, Israel juga menghalang rakyat Palestin daripada mendapatkan hak sebagai rakyat yang sah dan mutlak.
“Malaysia selaku ahli dan Naib Pengerusi Committee on the Exercise of the Inalienable Rights of the Palestinian People (CEIRPP) menggesa Majlis Keselamatan PBB (Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu )untuk memastikan Israel bertanggungjawab terhadap kekejaman yang jelas dan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.
“Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersama-sama bagi memastikan ada noktah ke atas penindasan yang dipaksakan ke atas warga Palestin.
“Masanya telah tiba untuk kita menggalang kekuatan dengan matlamat menamatkan ketidakadilan dan mempaculkan keadilan serta kesaksamaan,” katanya menerusi di platform media sosialnya hari ini.
Nakba merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan pemindahan secara paksa ratusan ribu penduduk Palestin menjelang penubuhan Israel poda 1948.
Semasa penubuhan Israel, hampir 75 peratus penduduk Palestin diusir keluar secara paksa malah lebih 400 kampung mereka turut dimusnahkan.
Jutaan mangsa Nakba dan keturunan mereka terus menetap di kem pelarian di Tebing Barat dan Gaza serta di negara-negara Arab berhampiran. – Edisi 9