25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Zamsaham lupakan hasrat jual Kelantan FC

Tiada mana-mana pihak berani mengambil alih kelab tersebut setelah tempoh seminggu yang diberikan.

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman membatalkan hasrat menjual kelab itu selepas tiada mana-mana pihak berani tampil menawarkan minat mengambil alih kelab tersebut dalam tempoh seminggu yang diberikan.

Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, ramai yang bersuara dan mengkritik tindakannya tetapi tiada yang sanggup mengambil risiko untuk melancarkan pengambilalihan Kelantan.

“Genap sudah tuju hari, yang bercakap dan komen ramai tetapi sayangnya tiada seorang pun yang nak ambik risiko, keluar duit atau pendek cerita ambil alih sepenuhnya A ke Z  Kelab TRW Kelantan FC daripada saya,” katanya menerusi kiriman di Facebook.

Cabaran itu dilontarkan selepas beliau dikecam oleh para peminat dan penyokong Kelantan FC ekoran prestasi tidak memberangsangkan kelab tersebut dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Antara kecaman yang diterima termasuk mempersoalkan beliau sebagai ‘orang luar’ yang tidak sepatutnya memiliki Kelantan FC.

Dalam pada itu, Norizam bertekad untuk terus menerajui kelab tersebut setelah mendapat semangat baharu hasil pertemuannya dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa hari lalu.

Advertisements

“Maka, selepas berjumpa dengan TMJ saya dapat semangat baharu, inspirasi untuk saya teruskan menerajui kelab (Kelantan FC) ini dan buat yang terbaik. Mungkin tak sekelip mata tapi berperingkat dan berfasa,” katanya.

Ahli perniagaan itu berkata, beliau sedia menerima kritikan yang boleh diterima akal, semangat, pandangan dan segala komen kerana sedar di sebalik kritikan tersebut masih ada sokongan positif yang diterima.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan meneruskan perjuangan Kelantan FC sehingga masa yang sesuai dan ditentukan oleh Allah.

Norizam turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Kelantan yang terus menyokong pasukan itu.

Norizam mengambil alih Kelantan FC pada 2020 setelah mengambil alih saham The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) dengan nilai RM6.8 juta.

Kelantan FC yang bersaing dalam Liga Super kini menduduki tangga kedua tercorot setelah hanya mencatatkan satu kemenangan dan satu kali seri dalam lapan perlawanan yang dilalui setakat ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan