28.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

KKM percepat lantik graduan perubatan tanpa temuduga

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan akan mempercepatkan pelantikan graduan perubatan secara kontrak tanpa melalui proses temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia adalah antara langkah dilaksanakan kementerian dalam menangani masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam serta swasta pada masa ini.

Menurut beliau, inisiatif lain yang akan dilakukan adalah melantik semula pegawai perubatan pakar yang sudah tamat kontrak untuk berkhidmat dengan kementerian mengikut keperluan.

“Pegawai perubatan pakar yang sudah bersara wajib turut dilantik semula untuk menyumbang khidmat dengan KKM berdasarkan keperluan dan bidang kritikal.

“Slot latihan siswazah di KKM turut ditingkatkan daripada 10,835 pada 2013 kepada 12,228 tahun lalu selain menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran.

“Kerajaan juga meningkatkan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih ramai doktor pakar dihasilkan melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway di KKM selain menggalakkan pakar perubatan warganegara yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air,” katanya menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Advertisements

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan langkah KKM untuk mengatasi masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam serta swasta.

Ujar Dr Zaliha lagi, selain untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan, penambahan jumlah pegawai perubatan dibuat bagi memenuhi sasaran seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk menjelang 2025 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, peningkatan bilangan pegawai perubatan di sektor awam serta swasta dapat dilihat berdasarkan nisbah kepada penduduk pada 2021, iaitu 1:420 berbanding 1:554 pada tahun 2017.

“Sehingga 31 Disember 2022, terdapat seramai 6,985 pakar perubatan, pegawai perubatan (52,666) sedang berkhidmat di fasiliti kesihatan kementerian,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan