25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Selepas Kelantan, Perak pula terima laporan cubaan culik murid

Pihak sekolah juga diingatkan agar memastikan urusan tersebut dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga yang sah sahaja.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KURANG seminggu selepas polis Kelantan menerima laporan berhubung kes cubaan culik murid sekolah, kali ini polis Perak menerima laporan yang sama dari ibu mangsa Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, susulan kejadian berkenaan, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan cubaan melarikan seorang murid perempuan di hadapan sebuah sekolah rendah di Taman Pinji Mewah, Ipoh.

“Laporan polis telah dibuat ibu mangsa pada pukul 9.07 malam dan kerjasama juga dijalinkan antara polis dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah dalam meningkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah dan keselamatan di sekolah.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut supaya tidak mengganggu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176.

“Ibu bapa atau penjaga dinasihatkan menghantar dan mengambil anak mereka pada waktu yang ditetapkan pihak sekolah selain memaklumkan kepada pihak pengurusan sekiranya tidak dapat berbuat demikian.

“Pihak sekolah juga diingatkan agar memastikan urusan tersebut dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga yang sah sahaja,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan hantaran yang dimuat naik di Facebook itu, murid terbabit bersama seorang rakan dikatakan dihampiri lelaki menaiki van berwarna putih sekitar pukul 1 tengah hari, Jumaat lalu sebelum diajak mengikutnya dan dijanjikan gula-gula. 

Bagaimanapun, pelawaan itu ditolak  sebelum suspek bertindak mencengkam lengan mangsa untuk menariknya.

Advertisements

Mangsa yang terkejut telah menjerit dan didengari pengawal keselamatan manakala suspek melarikan diri dengan menaiki van berkenaan.

Pada 22 September itu, polis Kelantan menyiasat dua kes tular melibatkan dakwaan cubaan culik dua murid di sebuah sekolah di daerah Gua Musang yang didakwa berlaku pada puku 5 petang pada 19 dan 20 September .

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, kejadian pertama didakwa membabitkan seorang murid Tahun Empat  disekolah berkenaan.

“Semasa tamat sesi persekolahan bagi Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), terdapat dua lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta jenis Perodua Kancil berwarna putih nombor pendaftaran tidak diketahui berada di seberang jalan menghala ke Gua Musang.

“Mereka memanggil murid tersebut di luar kawasan sekolah tetapi murid itu tidak menghiraukan mereka,” kata beliau.

Selepas itu, kata Choon Foo, kejadian kedua pula didakwa berlaku pada jam sama Selasa lalu membabitkan seorang murid Tahun Satu di sekolah sama.

“Murid Tahun Satu itu mendakwa dipanggil oleh dua lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta jenis Perodua MyVv berwarna kelabu nombor pendaftaran tidak diketahui.

“Murid tersebut juga tidak menghiraukan dua lelaki tersebut,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan