29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Lebih 29,000 siswa guna portal RSS cari rumah sewa

Pentadbiran portal RSS terus dipantau bagi memastikan lebih banyak premis untuk penyewaan tersenarai

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LEBIH 29,000 pelajar universiti awam di seluruh negara telah berdaftar dengan portal Rumah Sewa Siswa (RSS) bagi mencari penginapan di luar kampus sejak dilancarkan tahun lalu.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, portal RSS yang boleh diakses menerusi http://rumahsiswa.mohe.gov.my menyediakan platform bagi memudahcarakan usaha pelajar mencari dan mendapatkan kediaman sama ada rumah atau bilik di sekitar kampus.

KPT berkata, penyenaraian premis di dalam portal tersebut dilaksanakan oleh pegawai universiti awam sendiri yang bertanggungjawab meneliti dan memastikan kediaman yang dikenal pasti adalah kondusif bagi penginapan pelajar dari aspek kadar sewaan, fasiliti yang disediakan dan keselamatan lokaliti premis.

“KPT akan terus memantau pentadbiran portal RSS bagi memastikan lebih banyak premis untuk penyewaan tersenarai dengan kadar mampu milik bagi memenuhi keperluan pelajar menginap di luar kampus terutamanya bagi persediaan kemasukan Semester Akademik 1, Tahun 2022/2023 nanti,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Selain portal RSS, KPT turut melancarkan inisiatif Rumah Siswa pada 2021 dan mewujudkan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) di semua universiti awam.

Tangkap layar portal Rumah Sewa Siswa.

Sehubungan itu, KPT berharap pihak universiti menerusi UPLK terus menyantuni pelajar yang berkeperluan mendapatkan penginapan di luar kampus agar sebarang cabaran yang dihadapi mereka dapat sentiasa dibantu dan dipermudahkan.

“Pelajar juga dinasihatkan sentiasa berhubung dengan pihak UPLK di universiti masing-masing bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam pencarian rumah, hal ehwal kontrak sewaan dan perundingan yang berkaitan.

Advertisements

“KPT dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti – Universiti Malaysia (MAPUM) juga meneliti ketersediaan kapasiti penginapan pelajar di dalam dan luar kampus bagi mengoptimumkan keperluan pelajar yang semakin meningkat,” katanya.

Katanya, KPT terus komited agar pelajar luar kampus sentiasa mendapat kediaman yang selamat, mampu milik dan kondusif menerusi capaian yang mudah dan pantas selari dengan aspirasi menjamin kesejahteraaan pelajar di institusi pendidikan tinggi.

Kementeri itu sentiasa peka dan mengambil berat keperluan semasa pelajar terutamanya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar luar kampus terpelihara.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai keluhan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sukar mendapatkan rumah sewa berhampiran di kawasan kampus di Shah Alam, Selangor.

Rata-rata mereka meluahkan kekecewaan apabila pemilik rumah meletakkan deposit sehingga RM9,000, dan ada juga mendakwa penuntut tidak dibenarkan meninjau rumah sewa selagi tidak membayar wang deposit.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan