DUA kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Triang, Pahang berdekatan jeti Pasar Kerayong, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran, berkata kejadian melibatkan mangsa berusia 11 dan 15 tahun.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa datang bersama enam lagi rakan mereka ke lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.
“Namun hanya beberapa orang yang mandi termasuk dua mangsa terbabit dengan menggunakan pelampung tiub tayar lori di tengah sungai.
“Tiba-tiba kedua-dua mangsa dipercayai terlepas daripada tiub terbabit dan terus dihanyutkan arus deras,” katanya lapor Sinar Harian.
Kumaran berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pada jam 5 petang melibatkan pelbagai agensi terdiri bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak polis.
“Operasi ditangguhkan kira-kira jam 7.15 petang dan bersambung pagi ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, seramai enam anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat.
Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin, Temerloh serta polis dan APM.
“Tindakan operasi dengan membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian dan secara pencarian di permukaan dengan menggunakan bot fiber dan aluminium bomba,” ujarnya.