24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PERODUA optimis kekal sasaran jualan tahun ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERODUA optimis mampu mengekalkan sasaran jualan 247,000 untuk tahun ini, didorong pengeluaran dan pendaftaran yang bertambah baik.

Ini dapat dilihat dengan 61,624 kenderaan telah didaftarkan pada suku pertama 2022, sekaligus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan.

Ia meningkat sehingga 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kesan daripada COVID-19 dan isu bekalan komponen masih ada, namun pihaknya bekerjasama dengan pembekal dan pengedar untuk mengurangkan impak berkenaan.

“Fokus kami kini untuk mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.

“Perodua turut bersama Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam rayuan bagi melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes COVID-19 masih memberi kesan kepada industri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, industri automotif, termasuk ekosistem tempatan berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif pengecualian cukai jualan itu kerana ia mampu meraih permintaan yang tinggi sekali gus memajukan industri di sepanjang pandemik terburuk ini berlaku.

Advertisements

“Pada masa ini, ekosistem automotif tempatan mulai pulih secara beransur-ansur dan lanjutan pengecualian cukai jualan adalah rangsangan yang diperlukan oleh industri demi pertumbuhan yang mampan terutamanya dalam tempoh pemulihan,” katanya.

Pada bulan Mac 2022, Perodua mencatatkan jualan 26,759 kenderaan, peningkatan 9.5 peratus berbanding 24,433 unit dijual Mac tahun lalu.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan Mac melonjak 53.2 peratus daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022.

Pencapaian jualan bulanan tertinggi pada Oktober 2021 dengan 27,858 unit didaftarkan.

“Kami menjangka suku kedua 2022 akan menjadi kemuncak bagi industri automotif di mana jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan itu.

“Walaupun bekalan cip semikonduktor dan COVID-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, kami menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran bertambah baik.

“Kami tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan besar kepada pengeluaran Perodua pada masa akan datang,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan