24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Banjir: 13 lagi kes penyakit berjangkit dikesan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 13 kes penyakit berjangkit membabitkan jangkitan saluran pernafasan Akut (ARI), penyakit kulit dan Acute Gastroenteris (AGE) dikesan dalam kalangan mangsa banjir, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kes bagi ketiga-tiga penyakit berkenaan sebanyak 2,455 kes, selain konjunktivitis dan penyakit tangan kaki serta mulut (HFMD).

Katanya, tiada kes baharu positif COVID-19 dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kalangan mangsa banjir, hari ini.

“Sebanyak 470 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat ini membabitkan mangsa banjir.

“Tiada pertambahan kluster baharu dilaporkan hari ini dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan kluster dikesan masih lagi satu saja.

“Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di PPS juga kekal 15 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Advertisements

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 27 PPS membabitkan 1,086 mangsa di Johor dan Melaka masih beroperasi sehingga jam 3 petang tadi.

“Mangsa banjir dinasihatkan memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif sebagai kontak rapat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil ketika proses pemindahan dan penyelamatan dibuat.

“Selain itu, mangsa banjir juga diminta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu ketika proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS,” katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya mengelak berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir ketika di PPS, selain memakai pelitup muka seperti ditetapkan.

Ujarnya, untuk maklumat lebih lanjut dan kemas kini mengenai info bencana banjir, layari laman sesawang https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan