24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Jangan tutup siasatan Adib walau sementara – PPMM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Persatuan Peguam – Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak siasatan kes pembunuhan arwah Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditutup walaupun sementara dan usaha perlu dilipatganda bagi membawa pembunuh arwah Muhammad Adib ke muka pengadilan.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, di dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak.

Menurutnya, PPMM menegaskan kepada rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pembelaan kepada arwah Muhammad Adib masih perlu diteruskan dan seorang penjawat awam yang bertugas dengan kerajaan perlu dibela kematiannya oleh kerajaan.

“PPMM rasa terkejut dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang berkata kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu dan kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

“Kenyataan sebegini tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang Menteri apatah lagi yang tidak berkaitan dengan perlaksanaan undang-undang jenayah.

“Sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya siasatan ditutup bagaimanakah bukti baharu akan diperolehi.

Menurutnya, sehingga kini rakyat masih terpinga-pinga kedudukan kes berkenaan walaupun dulu pernah ada beberapa orang yang direman oleh pihak polis berkaitan dengan pembunuhan arwah Muhammad Adib.

“PPMM mendesak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menzahirkan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri.

“PPMM menegaskan bukti baharu tidak akan datang bergolek begitu sahaja jika siasatan ditutup sementara. Adalah menjadi tugas pihak polis mencari bukti-bukti tersebut sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bagi membela arwah Muhammad Adib,” kongsinya.

Belia turut menimbulkan persoalan adakah pihak polis sudah buntu, tidak menemui jalan dan sudah letih menyiasat kes pembunuhan Muhammad Adib dan mengumpul buktinya?

“Begitu juga berkaitan dengan permohonan komital yang dibawa oleh keluarga arwah Muhammad Adib perlu diselesaikan dengan segera dan adil terutamanya kerajaan perlu jelaskan pendirian, mengapa Tan Sri Tommy Thomas masih lagi dibela oleh kerajaan dalam prosiding komital di Mahkamah Rayuan sedangkan ketika masih menjadi pembangkang mereka sangat lantang mengecam tindak tanduk Tommy Thomas dalam menangani inkues arwah Adib,” katanya.

Dalam masa yang sama menurut beliau, banyak laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk keluarga arwah Muhammad Adib, mantan Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali dan ramai lagi yang masih lagi tidak ketahuan tindakan yang diambil oleh pihak polis.

“Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Advertisements

“Koroner Rofiah Mohamad turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib,” katanya.

Menurutnya, keputusan mahkamah koroner tersebut perlu dihormati kerana tiada sebarang proses perundangan yang dibawa oleh pihak kerajaan bagi merayu atau menyemak keputusan tersebut.

“Ini bermakna pihak kerajaan telah berpuashati dengan keputusan koroner itu. Oleh itu jika sekarang ada yang cuba mempertikaikan keputusan koroner tersebut, ia bukan berpaksi kepada aspek perundangan negara,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Terdahulu, 20 September lalu, Dewan Rakyat menolak usul untuk membahaskan isu kematian Adib yang dikemukakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kepada Speaker Dewan Rakyat, pagi tadi.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, ketika menjelaskan alasan penolakan itu meminta Rayer mengemukakan persoalan dalam usul berkenaan ketika sesi jawab lisan.

Rayer yang juga seorang peguam kemudian memberitahu menerima keputusan Speaker sambil meminta Azhar memaklumkan perkembangan isu kematian berkenaan kepada Menteri Dalam Negeri untuk dijawab.

Ogos tahun lalu, Hamzah ketika menjawab di Parlimen memaklumkan, kertas siasatan kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai 2020, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Kes Adib kemudiannya berakhir 23 September lalu dengan menyaksikan seramai 18 tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dua tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan