25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Agong perkenan lantik Muhyiddin ‘caretaker’ Perdana Menteri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara berkata, susulan peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri (PM) sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti serta urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem serta proses perundangan negara dan menghormati apa juga keputusan yang dibuat Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembangaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, menurut kenyataan itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara berada pada situasi yang membimbangkan.

Advertisements

“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

“Ini susulan, Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah maklum daripadaPengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus ) adalah zon merah COVID-19.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah menggangu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19,”kata kenyataan itu.

Terdahulu, Baginda berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara sekitar jam 12.23 tengah hari untuk satu perjumpaan yang berlangsung selama 30 minit.

Selain peletakan jawatan Muhyiddin, Baginda turut berkenan menerima surat peletakan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa pada hari ini.

Dalam pada itu, Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan