26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Larang penjualan arak: Jangan ada ‘pusingan U’

Mesti Baca

KEPUTUSAN muktamad Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melarang semua kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat tradisional Cina daripada menjual arak adalah satu tindakan yang tepat dan terpuji.

Menerusi Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras DBKL, ia menetapkan kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur tidak dibenarkan menjual minuman alkohol bermula 1 Oktober tahun hadapan.

Bagaimanapun penjualan alkohol bagi tujuan ubatan tradisional masih dibenarkan.

Selain itu, pemohon atau pemegang lesen alkohol hanya dibenarkan kepada orang bukan beragama Islam.

Antara syarat lain ialah premis perniagaan menjual minuman keras yang memabukkan tidak dibenarkan beroperasi berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.

Inilah tindakan berani Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang pasti kesannya dapat menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan orang awam di Kuala Lumpur khasnya.

Umum tahu, arak ialah minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal peminumnya. 

Ia juga membawa kepada kematian, ketidakupayaan dan kecederaan selain mengakibatkan penyakit seperti jantung, kencing manis dan kanser.

Malah, bukan agama Islam sahaja yang mengharamkan arak, agama lain turut melarang penganutnya minum arak kerana ia lebih mendatangkan kemudaratan kesihatan serta perlakuan mereka.

Pengambilan minuman beralkohol memberi kesan serta-merta kerana ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak sebelum mengganggu fungsinya hingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, ingatan dan lain-lain peranan.

Ketagihan arak jika tidak dikawal boleh merosakkan diri dan orang lain. – Gambar hiasan/Freepik.com

Melihat senario semasa di Malaysia,  kemalangan maut yang diakibatkan oleh pemandu mabuk kian meningkat dan membimbangkan rakyat.

Minuman beralkohol jelas mendatangkan mudarat yang lebih besar  apabila ia melibatkan pihak-pihak lain yang tidak bersalah bukan sahaja kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kehilangan atau kerosakan harta benda, sama ada bagi individu atau kerajaan tetapi lebih malang lagi ia melibatkan kehilangan nyawa insan-insan yang tidak bersalah.

Advertisements

Negara Barat juga sudah mula mengawal situasi rakyat pemabuk itu. Di Republik Ireland sebagai contoh, minum arak di tempat awam dilarang sama sekali kecuali di pub atau restoran berlesen.

Begitu juga Kanada (kecuali Quebec), di mana minum arak di tempat awam menjadi satu kesalahan.

Negara-negara lain yang melarang minum arak di tempat awam ialah Perancis, Norway, Lithuania dan Chile.

Jika negara-negara bukan Islam pun melarang rakyatnya mahupun pelancong minum arak di tempat awam, bagaimana pula negara kita yang mewartakan Islam sebagai agama Persekutuan?

Jika golongan yang minum arak mahu menuntut hak mereka untuk minum, rakyat Malaysia yang tidak minum arak juga menuntut hak untuk hidup selesa, selamat, dan bebas daripada mereka yang mabuk.

Sememangnya arak adalah sesuatu yang menjahanamkan tanpa sedikitpun kebaikan.

Namun dibimbangi, akan muncul banyak pihak yang akan membantah pelaksanaan larangan menjual arak itu dengan mencetuskan pelbagai sentimen dan tohmahan, termasuk naratif Islamofobia. 

Menunggu sehingga detik Oktober 2021 adalah masa yang lama untuk pihak-pihak ini melobi dan membantah maka adalah diharapkan kerajaan tidak membuat ‘Pusingan-U’ kerana NGO-NGO Islam seperti Pembela teguh menyokong usaha ini. 

Malah, jika kerajaan baharu dibentuk sebelum larangan itu dikuatkuasakan, adalah diharapkan dasar DBKL itu tidak akan ditarikbalik.

Selain itu,  cabaran kepada pelaksanaan garis panduan lesen minuman keras juga adalah kepada penguatkuasaannya nanti. 

Justeru, adalah  diharapkan agar pihak berkuasa benar-benar menguatkuasakan peraturan itu tanpa ada sebarang kepincangan termasuk isu rasuah.

Jika ia berjaya dilaksanakan, adalah molek pihak berkuasa tempatan di negeri lain turut meniru langkah DBKL ini.

Ia juga mendatangkan kebaikan kepada pekerja Islam di kedai serbaneka yang mana Rasulullah SAW mengingatkan bahawa 10 golongan yang akan dilaknat Allah SWT, iaitu orang yang memerah, meminta diperahkan arak, minum, membawa dan menghantar, menuangkannya, menjual, membeli, makan hasil jualannya serta meminta dibelikan minuman itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan