SEBELUM ini ramai yang marah-marah kerajaan kerana bertindak menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ada NGO anggap tindakan kerajaan Malaysia tidak berperikemanusiaan. Isu ini turut mendapat perhatian media asing.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan terdapat kes-kes baharu Covid-19 dalam kalangan PATI yang ditahan di depoh tahanan Imigresen.
Ia membabitkan sebanyak 227 kes dengan 53 kes membabitkan warga Bangladesh, India (41), Indonesia (38), Myanmar (37), Pakistan (28) dan China (17), Kemboja (empat), Nepal (tiga), Sri Lanka (dua) dan masing-masing satu kes warga Filipina, Libya, Mesir serta Syria.
Bayangkan jika PATI ini dibiarkan bebas bergerak sudah tentu kes jangkitan akan meningkat berkali ganda. Lebih parah kita tidak boleh mengesan kedudukan mereka.
Jadi kita patut berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertindak pantas menahan para PATI ini ketika negara sedang melawan wabak yang telah mengorbankan lebih 300,000 nyawa di seluruh dunia.
Sudah tentu kesihatan dan keselamatan rakyat tempatan lebih penting daripada soal kemanusiaan lantaran tindakan menahan mereka melalui operasi besar-besaran yang dilakukan baru-baru ini.
Mungkin Malaysia bertindak segera terhadap PATI selepas belajar daripada “kesilapan” kerajaan Singapura yang mengabaikan kumpulan pekerja asing yang tinggal di asrama-asrama di kawasan terpencil, sehingga kes Covid-19 meningkat mendadak.
Berdasarkan rekod hari ini, kes Covid-19 di negara republik itu sudah mencecah 32,343 kes termasuk 383 kes baharu setakat ini.
Daripada jumlah kes baharu itu, hanya seorang warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.
Itu di Singapura, tetapi di Malaysia mujurlah para PATI ini sudah ditahan dan ditempatkan di depoh tahanan Imigresen dan ini memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan pemeriksaan serta bertindak mengasingkan mereka. Difahamkan PATI yang positif Covid-19 akan ditempatkan di Pusat Kuarantin di MAEPS Serdang.
Cuma sekarang ini kerajaan perlu mengambil langkah-langkah membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing (yang mempunyai permit), yang kini bekerja di tapak-tapak pembinaan serta di ladang-ladang yang agak jauh di pedalaman.
Kluster pekerja asing ini perlu diberi perhatian agar keadaan di Singapura tidak terjadi di negara ini, ketika kes-kes dalam kalangan rakyat tempatan sudah mula menunjukkan penurunan ketara, iaitu di bawah 50 kes setiap hari selepas PKP dilaksanakan.
Dalam hal ini majikan kenalah membantu secara proaktif dengan memberikan kebenaran pekerja asing mereka untuk melakukan pemeriksaan secara berkelompok agar usaha kerajaan untuk mengatasi wabak Covid-19 dapat dijayakan. – Edisi 9