33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

KPT, tolong fahami kesusahan mahasiswa, keluarga mereka!

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

RUMAH penulis terletak berdekatan di sebuah universiti awam. Ketika perjalanan ke pejabat, penulis terserempak dengan sebuah keluarga mahu menghantar anaknya mendaftar.

Melihat keadaan mereka, penulis memahami mereka bukanlah keluarga senang, entah berapa banyak belanja yang terpaksa dikeluarkan untuk sampai ke Shah Alam.

Pada sebelah petangnya, penulis terbaca kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mencadangkan semua insititut pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal dan lama yang akan ke kampus susulan peningkatan kes Covid-19.

Memetik kenyataan tersebut, ‘’ Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka dengan pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihat kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.’’

Penulis tidak mempertikaikan niat baik KPT dalam soal ini tetapi kenapa terlalu lewat? Kenapa baru hari ini keputusan atau cadangan dikemukakan ketika ribuan ibu bapa sudah sampai ke destinasi bagi mendaftar anak-anak masing-masing? Apakah KPT tidak memikirkan kesan akibat keputusan yang cukup lewat itu?

Justeru tidak hairanlah hashtag #MenteriKPTletakjawatan menjadi trending dalam Twitter. Penulis boleh faham perasaan mereka terutamanya mahasiswa. Bacalah komen-komen dalam media sosial tersebut, ternyata kemarahan mahasiswa dan ahli keluarga mereka tidak dapat dibendung lagi.

Sebagai seorang bapa yang mempunyai anak di IPT, penulis memahami kesusahan mereka yang terlibat. KPT sepatutnya mempunyai perancangan dalam menangani situasi ini sejak awal lagi, tak kan selepas kes melonjak 260 kes semalam, baru KPT kelam kabut hendak membuat tindakan?

Tak kanlah tidak ada satu pasukan di kementerian itu yang memantau perkembangan Covid-19 supaya keputusan awal dapat dibuat supaya tidak menyusahkan mahasiswa dan keluarga mereka?

Fahamlah sikit, banyak keluarga yang anak mereka bergelar mahasiswa menderita akibat keputusan lewat ini. Macam-macam cerita dapat kita baca dalam media sosial ada sesetengah cukup memilukan tetapi adakah KPT faham? Adakah Menteri terlibat mengerti?

Bayangkan apa perasaan kita apabila membaca kisah seorang netizen yang dalam ciapannya memberitahu ayahnya sudah jual motor sebab nak hantar dia belajar.

Advertisements

Ada pula mahasiswa yang kecewa kerana mereka terpaksa membayar sewa setiap bulan tanpa menghuni rumah tersebut dan kini pendaftaran atau kemasukan ditangguhkan?

Tahukan KPT macam mana susahnya ibu bapa mereka hendak mencari wang bagi membayar sewa tersebut? Tahukah KPT berapa lama seorang bapa akan berupaya mengumpul wang untuk membeli sebuah motosikal?

Seorang lagi netizen memaparkan bahawa keluarganya ada memiliki wang sebanyak RM500 untuk perbelanjaan sepanjang bulan dengan tujuh ahli keluarga kerana mahasiswa itu harus membayar RM3,000 bagi yuran universiti. Itu tidak termasuk perbelanjaan lain.

Itulah belum lagi mengambil kira bagaimana ibu bapa yang terpaksa mengambil cuti untuk menghantar anak mereka. Itu tak apa lagi, tetapi bagaimana dengan mereka yang berpendapatan secara harian seperti membuka warung atau dibayar gaji secara harian! Tak kanlah Menteri atau pegawai –pegawai yang terlibat tidak memikirkan ini semua?

Tolonglah KPT, kasihanlah rakyat! Tidak semua mereka datang daripada keluarga senang. Ada antara mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan menempuh kehidupan yang getir bagi mencari sesuap nasi.

Janganlah apabila anak mereka sudah berjaya memasuki IPT, kini mereka dibebani pula dengan keputusan pada saat-saat akhir oleh KPT yang menyusahkan lagi hidup mereka.

Penulis tidak faham dan tertanya-tanya adakah kementerian yang begitu penting tidak bijak membuat perancangan sehingga menyusahkan rakyat! Memang KPT layak dikecam kerana rakyat sudah bosan dengan keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir.

Ini bukan soal untuk membuat pengumuman esok semua IPT bercuti yang boleh sahaja dibuat pada saat-saat akhir tetapi ia melibatkan soal perjalanan dan perbelanjaan yang harus diharungi serta ditanggung oleh keluarga-keluarga mahasiswa.

Justeru sudah sampai masanya semua pihak di KPT termasuklah menterinya belajar bagaimana untuk membuat keputusan yang cepat dan memperbaiki segala kelemahan yang ada supaya ia tidak mendatangkan kesusahan kepada mahasiswa dan ahli keluarga mereka.

Berfikirlah sejenak, fahamilah perasaan dan kesusahan rakyat supaya tidak berulang lagi keputusan yang membebankan mereka.

Kalau merasakan tidak berupaya lagi menggalas tugas, penulis bukan sahaja bersetuju dengan hashtag “MenteriKPTsilaletakjawatan’’, malah semua yang terlibat patut pandai-pandailah mengundur diri – kerana rakyat sudah bosan!

Advertisements

Terkini

KPM laksana pebagai inisiatif untuk reformasikan pendidikan negara

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara. Menurut KPM dalam kenyataannya, ini termasuk pengstrukturan...

Lagi Artikel Berkaitan