26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Pencemaran bau, minyak diesel dikesan di Sungai Batu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) mengesan insiden pencemaran bau dan kesan minyak diesel di Sungai Batu, berhampiran sebuah inap desa dekat Jalan Ulu Yam Bharu, Hutan Lipur Sungai Tua, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, berkata LUAS menerima maklumat kejadian itu daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan orang awam.

Beliau berkata, maklumat lanjut daripada orang awam memaklumkan insiden itu berlaku sekitar jam 10 pagi hingga 12 tengah hari kelmarin dan kesan minyak tersebut hilang ekoran hujan lebat di kawasan berkenaan.

“Insiden terbabit dikhuatiri memasuki Empangan Batu dan berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Batu.

“Bagaimanapun, siasatan segera LUAS ke LRA Sungai Batu mendapati tiada kesan bau dan minyak.

“Operasi LRA berjalan seperti biasa dengan siap siaga Air Selangor sekiranya insiden pencemaran tersebut memberikan impak,”katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Loy Sian berkata, siasatan lanjut LUAS di kawasan hulu sungai mendapati potensi pencemaran berpunca daripada tapak pembinaan yang beroperasi berhampiran tapak perkhemahan di kawasan inap desa.

Advertisements

“LUAS menemukan sebuah generator yang baru diletakkan berhampiran sungai dan terdapat kesan tumpahan minyak di kawasan sekitarnya.

“Sehubungan itu, LUAS mengarahkan pemilik aktiviti itu segera melaksanakan tindakan mitigasi dan kawalan dengan meletakkan takungan di bawah generator dan mengalihkan dari kawasan sungai berhampiran,”katanya.

Beliau berkata, LUAS kemudian mengeluarkan Arahan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik tapak pembinaan berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan segera, berdasarkan penilaian risiko dan ancaman kepada sumber air berhampiran.

Pada masa sama katanya, tiada gangguan kepada operasi LRA dilaporkan.

“Kerajaan Selangor melalui LUAS komited dalam memastikan sumber air di negeri ini dan menyeru semua pihak agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran agar insiden sama tidak berulang,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan