33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Guan Eng jangan ‘double standard’ – Asyraf Wajdi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak sewajarnya bersikap ‘double standard’ apabila mendakwa menjadi mangsa dendam politik selepas beliau dan isterinya dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan rasuah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apabila ada kepimpinan UMNO sehingga ke peringkat isteri dan anak-anak didakwa, cepat sungguh mereka jatuh hukum bersalah walaupun belum disabitkan di mahkamah.

“Namun apabila ada kepimpinan DAP sehingga ke peringkat isteri didakwa, (mereka) cepat buat tuduhan sesuka hati kononnya berlaku pendakwaan terpilih bahkan atas dasar dendam sedangkan mahkamah belum pun memulakan perbicaraan.

“Prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah terpakai kepada semua. Hormatilah institusi mahkamah dan biarlah proses undang-undang berjalan dan mengambil tempatnya,” tegas Asyraf Wajdi di Facebook.

ASYRAF WAJDI DUSUKI

Guan Eng mendakwa menjadi mangsa dendam politik selepas beliau dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan rasuah hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, mereka yang tidak berpuas hati dengannya tidak seharusnya melibatkan ahli keluarganya yang lain kerana tidak mempunyai kaitan langsung.

Menurutnya, sekiranya pihak berkenaan berdendam dengannya mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap dirinya dan bukan mengheret isteri dan keluarganya dalam tindakan kotor untuk menjatuhkannya.

“Jika dendam kepada saya, buat atas saya, mengapa pula perlu kenakan caj terhadap isteri saya yang tidak terlibat, ini memang tidak berasas,” katanya yang menyifatkan pertuduhan berkenaan merupakan cabaran besar kerana turut melibatkan isterinya.

Terdahulu, Guan Eng, isteri, Chew dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Guan Eng, 60, Gek Cheng, 56, dan Li Koon, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Advertisements

Hakim itu membenarkan pasangan suami isteri itu dan Phang, masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober untuk sebutan semula kes.

Mahkamah di sini mencuri tumpuan ramai apabila Ahli Parlimen Bagan itu dibawa sekali lagi ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan rasuah.

Prosiding dimulakan dengan pertuduhan terhadap Guan Eng dibacakan, dan beliau berkata “tidak bersalah”.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Gek Cheng dituduh atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014; 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Advertisements

Terkini

MB Perlis ditahan SPRM bantu siasatan salah guna kuasa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan dakwan salah guna...

Lagi Artikel Berkaitan