31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Sawit anugerah Allah yang tidak ternilai kepada Malaysia

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh:

BAKRI JAMALUDIN

(Bahagian 1)

Firman Allah SWT:

“Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui.” (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

Al-Baqarah, ayat 22

Sektor pertanian memainkan peranan yang amat penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia memandangkan negara ini adalah antara negara pengeksport utama minyak sawit dan getah.

Kelapa sawit atau nama botaninya Elaeis guineensis merupakan tanaman komoditi utama bagi Malaysia. Malaysia merupakan negara kedua terbesar pengeluar utama minyak sawit  dunia selepas Indonesia, tetapi masih ramai dalam kalangan rakyat di negara ini tidak mengetahui bahawa sawit bukanlah berasal dari Malaysia. Sebaliknya, ia datang dari Nigeria di Afrika Barat.

Pokok sawit pertama kali diperkenalkan di Tanah Melayu pada zaman kolonial British pada tahun 1870-an sebagai tanaman hiasan. Ia mula ditanam secara kormesial oleh Henri Fauconnier di Ladang Tennamaran, Selangor pada tahun 1917.

Bermula dari tahun 1960, jumlah keluasan kebun sawit meningkat dengan cepat sehingga mencapai 1.5 juta hektar seterusnya meningkat kepada 4.3 juta hektar pada tahun 2007.

Tanah yang subur, curahan hujan yang mencukupi dengan taburan hujan yang agak  sekata sepanjang tahun serta menerima sekitar 12 jam sinar matahari sehari, maka tidak hairanlah mengapa pokok kelapa sawit dapat tumbuh dan hidup dengan subur di daerah-daerah di Malaysia dan Indonesia.

Malaysia hari ini mempunyai keluasan tanaman sawit sekitar 5.9 juta hektar yang diusahakan secara kormesial oleh syarikat-syarikat besar perladangan, agensi-agensi kerajaan dan secara individu yang dikenali sebagai pekebun kecil.  Daripada jumlah ini, sekitar 1.6 juta hektar atau 28% diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil sama ada secara tersusun atau bebas.

Anugerah kepada ekonomi negara

Pokok sawit yang tumbuh dengan subur di Malaysia merupakan anugerah Ilahi kepada pemangkin ekonomi negara. Pada tahun 1960-an dan 1970-an, ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada getah dan timah.

Namun, industri sawit yang dikembangkan secara serius pada penghujung tahun 1970-an dan 1980-an telah memberi satu impak besar kepada kemajuan ekonomi Malaysia yang dapat dirasakan oleh rakyat bermula dari tahun 1990-an hingga ke hari ini.

Industri sawit Malaysia masih kekal sebagai sektor yang kukuh dalam membantu mempertahankan kemampanan ekonomi negara. Sebagai contoh,  semasa negara dilanda krisis kewangan 1998, industri sawit dengan pendapatan sekitar RM22.5 bilion pada tahun tersebut sangat membantu dalam mengatasi krisis ekonomi yang melanda negara.

Kejatuhan nilai ringgit dari RM2.50 kepada RM3.80 bagi setiap AS$1.00 dan sedikit penyusutan pengeluaran sawit  telah menyebabkan harga minyak sawit melambung  dan negara mengaut keuntungan besar hasil dari eksport minyak sawitnya.

Peranan syarikat-syarikat perladangan besar seperti Sime Darby, KLK, IOI, PBB, Genting, EPA dan lain-lainnya dalam menyumbang kepada industri sawit Malaysia adalah sangat signifikan.

Begitu juga peranan yang dimainkan oleh FELDA dan beberapa agensi lain kerajaan seperti RISDA, FELCRA dan lain-lain dalam menjana dan menggerakkan industri sawit negara khususnya untuk  bumiputera dan penduduk luar bandar yang majoritinya berada di bawah paras kemiskinan.

Sumbangan inilah yang telah mengubah landskap negara apabila ia berjaya menaikan taraf hidup sosioekonomi dan pendapatan penduduk di kawasan-kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

Hari ini, terdapat sebanyak 44 syarikat perladangan yang tersenarai dengan nilai modal pasaran mereka berjumlah RM113 bilion, iaitu berkedudukan nombor lima di Bursa Malaysia selepas sektor kewangan, telekomunikasi dan media, utiliti dan perkhidmatan industri.

Sumbangan industri sawit kepada KDNK 2011 – 2018

Industri sawit Malaysia hari ini mampu menghasilkan sekitar 20 juta metrik tan minyak sawit mentah (CPO) dengan nilai pasaran sekitar RM72 bilion setahun. Sepanjang tempoh lapan tahun yang lalu, industri utama negara ini telah menyumbang sebanyak RM33 bilion hingga RM43 bilion atau 5% hingga 7%  daripada KDNK negara.

Sementara itu, pada tahun 2018, walaupun pasaran komoditi sawit mengalami kejatuhan harga tetapi industri ini dapat menyumbang sebanyak RM38 bilion atau sekitar 37% daripada sektor pertanian kepada KDNK negara.

Jumlah eksport  minyak dan produk hasil sawit pada tahun 2018 berjumlah sekitar RM62 bilion  dengan jumlah dagangan eksport minyak sawit sebanyak 15.35 juta tan metrik.

Manakala sebanyak 18 juta tan metrik dicatatkan pada tahun 2019. Nilai eksport pada tahun 2018 sedikit merosot disebabkan oleh harga komoditi yang rendah di pasaran dunia.

Advertisements
anugerah

Oleh itu, turun naik pasaran komoditi minyak sawit dunia mempunyai kesan dan pengaruh yang besar terhadap dan kestabilan ekonomi Malaysia.

Usaha murni Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam memperbaiki hubungan dagang antara India dan Malaysia telah berjaya menarik minat negara pembeli utama minyak sawit Malaysia itu untuk kembali melakukan pembelian minyak sawit Malaysia.

Dijangka harga purata minyak sawit Malaysia akan meningkat ke paras di atas RM2,400 per tan metrik pada tahun 2020.

Di samping itu, pakej Penjana yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan menurunkan duti esksport minyak sawit Malaysia (MSM) kepada sifar berbanding 4.5% sebelum ini akan menjadikan MSM lebih kompetitif dan permintaan akan meningkat.

Kesan kenaikan harga komoditi dan permintaan MSM ini akan memberi impak kusyen besar terhadap program pemulihan ekonomi yang terjejas disebabkan oleh wabak COVID-19.

Anugerah kesejahteraan kepada rakyat Malaysia

Industri sawit merupakan anugerah Allah kepada rakyat Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa industri ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam mengurangkan kadar kemiskinan serta menaik taraf infrastruktur dan taraf hidup penduduk di luar bandar.

Pembukaan dan penerokaan kawasan-kawasan baharu perladangan sawit pada awal tahun 1980-an, sama ada melalui syarikat-syarikat perladangan, atau agensi kerajaan seperti FELDA, RISDA,FELCRA, SLDB dan sebagainya telah merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan-kawasan yang dahulunya dianggap jauh dan terpencil.

Antara daerah-daerah yang mendapat manfaat langsung hasil dari pembangunan industri sawit negara adalah seperti di daerah Temerloh, Jengka, Keratong dan Bandar Muazzam Shah di Pahang; Segamat, Keluang, Kulai dan Kota Tinggi di Johor; Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan; Lahad Datu, Sandakan dan Tawau di Sabah serta beberapa daerah lagi di Perak, Kedah, Selangor,  Sarawak serta Negeri Sembilan.

Sangat jelas kemajuan yang dicapai hari ini dari segi hubungan jalan raya antara kota dan kemudahan asas adalah sangat baik dan memuaskan jika dibandingkan dengan tahun 1970-an dan 1980-an sebelum sawit menjadi komoditi penyumbang utama kepada pendapatan Malaysia.

Bukan itu sahaja, industri ini juga telah memberi peluang pekerjaan dan manfaat kepada hampir 5.6 juta orang secara keseluruhan sama ada aktiviti di peringkat huluan mahupun hiliran  termasuk  petani pekebun kecil, pemasaran, perdagangan domestik dan antarabangsa serta lain-lain.

Menurut perangkaan daripada Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH), Malaysia hari ini mempunyai seramai 650,000 orang pekebun kecil sawit yang bergabung di bawah persatuan ini dan telah dapat menikmati manfaat yang begitu besar hasil dari pembangunan industri sawit di seluruh negara.

Justeru, hari ini terdapat sebanyak 44 buah syarikat perladangan yang tersenarai dengan nilai modal pasaran sekitar RM113 bilion, iaitu berkedudukan nombor lima di Bursa Malaysai selepas sektor kewangan, telekomunikasi dan media, utiliti dan perkhidmatan industri.

anugerah

Keberadaan syarikat-syarikat besar ini bukan sahaja dapat memberi impak yang besar kepada peningkatan ekonomi negara, malah ia juga mencipta peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan dan warga asing.

Penubuhan Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) pada tahun 1979 di bawah Kementerian Perusahaan Utama Malaysia bertujuan melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sawit sangat bertepatan dengan keperluan memperkasakan industri sawit terutamanya di sektor hiliran.

Institut ini telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan industri sawit negara terutamanya dalam sektor hiliran. Penubuhan PORIM telah membuka peluang pekerjaan baharu untuk anak-anak tempatan dalam bidang R&D bagi meningkatkan nilai tambah kepada turunan hasil sawit.

Penyatuan dua institusi besar sawit negara iaitu PORIM dan Lembaga Pendaftaran dan Perlesenan Minyak Sawit (PORLA) pada tahun 2000 bagi membentuk  Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyemarakkan lagi usaha-usaha pembangunan penyelidikan di kedua-dua sektor huluan dan hiliran bagi memastikan industri sawit negara akan terus maju, kompetitif dan mampan dalam menghadapi persaingan global terhadap permintaan lemak sayur dunia.

Hasil penyelidikan yang dijalankan di MPOB, industri sawit hari ini tidak hanya tertumpu kepada penanaman dan pemprosesan tandan buah segar kepada CPO, tetapi hari ini ia telah maju beberapa tapak ke hadapan dengan munculnya industri baharu turunan dari minyak sawit iaitu industri oleokimia dan biobahan api yang juga membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

Mensyukuri nikmat dan anugerah tuhan

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, akan tetapi jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab aku amatlah pedih.” Surah Ibrahim, ayat 7

Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah mensyukuri nikmat dan anugerah Allah dari sawit kepada negara ini. Walaupun sawit berasal dari Afrika Barat, ia dapat tumbuh dengan baik dan subur di Malaysia sehingga mampu memberi nikmat rezeki dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat Malaysia amnya.

Janganlah gara-gara kerakusan kita terhadap anugerah ini hingga kita lupa tentang tanggungjawab mensyukurinya dan melakukan ketaatan kepada Sang Pencipta agar nikmat kebaikan dan kesejahteraan ini tidak berubah menjadi azab dan musibah kepada kita semua.

Penulis ialah Ahli Panel Pemikir Strategik Pejabat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Advertisements

Terkini

8000 pelari sertai Twincity Marathon 2024 

TWINCITY Marathon 2024 telah mencatatkan jumlah peserta yang mengagumkan, dengan lebih daripada 8000 peserta daripada 24 negara menyertainya. Twincity Marathon, sebuah acara...

Lagi Artikel Berkaitan