25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Mukhriz tersingkir di Kedah?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA berlaku perubahan kepemimpinan di peringkat kerajaan Pusat pada awal Mac lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan sama ada anak beliau, Datuk Seri Mukhriz mampu bertahan di Kedah atau tidak sebagai Menteri Besar, ia bergantung kepada ihsan Pas.

Pada 12 Mac lalu, Mukhriz yang berhasrat menumpaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pemilihan jawatan Presiden Bersatu tidak lama lagi, memaklumkan telah mencapai persetujuan dengan pimpinan Pas Kedah bahawa  status quo pentadbiran kerajaan negeri Kedah kekal.

Bagaimanapun kini angin perubahan mungkin berlaku di Kedah – satu perkara yang dibimbangi oleh Mukhriz dan Mahathir – apabila Pas menyatakan ia tidak dapat dielakkan lagi.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, antara sebab adalah Mukhriz kini mendapat kurang daripada separuh sokongan dalam kalangan wakil rakyat Bersatu di negeri itu.

Katanya,  PH telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri, oleh itu Pas Kedah yang memiliki 15 kerusi DUN, jumlah paling tinggi dalam kalangan parti yang ada di negeri tersebut bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Atas semangat Muafakat Nasional Pas-UMNO, kami memiliki lagi dua kerusi milik UMNO, menjadikan kesemuanya 17 kerusi DUN,” katanya dalam satu kenyataan.

DUN Kedah memiliki 36 kerusi. Daripada jumlah itu Pas menguasai 15 kerusi, UMNO (dua kerusi), PKR (tujuh kerusi), Amanah (empat kerusi), DAP (dua kerusi) dan Bersatu (enam kerusi)

Advertisements

Walaupun sebelum ini Mukhriz dikatakan mendapat sokongan sekurang-kurangnya 19 ADUN namun kedudukan beliau semakin tidak selamat apabila berlaku perpecahan dalam partinya berikutan pertembungan antara Mahathir dengan Muhyiddin.

Pada masa sama PKR juga bergoncang berikutan tindakan pucuk pimpinan parti itu memecat dan menggantung penyokong pemimpin yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan senario politik semasa, mungkin perubahan itu tidak dapat dielakkan tetapi dalam politik segalanya berkemungkinan. Mukhriz hanya boleh selamat jika Muhyiddin memohon ehsan Pas dan UMNO `tidak mengganggu’ Menteri Besar Kedah itu.

Jika Mukhriz tersingkir daripada kerusi Menteri Besar, ia adalah satu tamparan hebat kepada beliau yang bercita-cita besar menjadi Presiden untuk memimpin Bersatu bersama bapanya yang merupakan Pengerusi parti tersebut.

Menjadi Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali boleh disifatkan satu-satunya `rekod cemerlang’ yang ada kepada Mukhriz dalam arena politik tanah air, kalau itu pun berakhir, apa lagi yang boleh dijadikan modal untuk Mukhriz  menumbangkan Muhyiddin dalam pemilihan Bersatu.

Selain itu, Mahathir juga sudah pasti tidak akan selesa dengan keadaan ini kerana satu-satunya anak beliau yang diharapkan meneruskan legasinya dalam dunia politik tersingkir daripada kerusi Menteri Besar.

Persoalannya, jika sebelum ini Dr. Mahathir dikatakan marahkan UMNO kerana menyebabkan anaknya tewas dalam perebutan kerusi Naib Presiden dan disingkirkan daripada kerusi Menteri Besar selepas PRU-13, kali ini ahli politik berusia 95 tahun itu mahu salahkan siapa pula? – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan