Wednesday, July 22, 2026

Anwar lancar buku terbaharu ‘Rethinking Ourselves’

Beliau mengumumkan seluruh hasil royalti buku itu akan disalurkan kepada pelajar miskin sebagai usaha menyuburkan akses pendidikan...

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku terbaharunya Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance In Postnormal Times pada satu majlis di Bukit Jalil, petang ini.

Anwar berkata, beliau bersyukur kerana berpeluang menghimpunkan perjalanan hidup dan pengalaman peribadinya menjadi sebuah naskhah yang mengetengahkan wacana tentang bangsa, kemanusiaan dan masa depan negara.

Beliau berkata, buku tersebut mendapat sambutan memberangsangkan di peringkat antarabangsa apabila tiga penerbit ternama bersetuju menerbitkannya.

Mereka ialah Hurst London untuk pasaran United Kingdom, Eropah dan Amerika Syarikat; Penguin bagi edisi Malaysia dan Asia; serta Hong Kong University Press yang akan memasarkan edisi China dan Asia Timur bermula Januari depan.

“Buku ini lahir daripada catatan-catatan saya tatkala terbungkam di Sungai Buloh, ruang renungan yang melahirkan persoalan tentang keadilan, harga diri bangsa serta masa depan negara. 

Anwar Ibrahim melayani orang ramai yang mendapatkan buku terbaharu beliau hari ini. – Foto: PMO

“Ia bukan sekadar memoir, tetapi cetusan idea untuk pembinaan sebuah negara yang bertamadun, berasaskan kekuatan nilai, keberanian moral dan maruah rakyatnya,” katanya hari ini.

Anwar berkata, Rethinking Ourselves turut menekankan isu-isu besar negara seperti rasuah, ketegangan perkauman, pelampau agama, serta usaha memulihkan kedaulatan minda dalam negara pascakolonial. 

“Saya turut mengangkat zeitgeist atau cabaran zaman baharu, termasuk arus digital, kecerdasan buatan dan peralihan tenaga, yang menuntut negara ini mengejar kemajuan tanpa kehilangan jiwa. 

“Teknologi memperkasa kita, namun nilai dan perikemanusiaan memberi makna kepada kemajuan,” jelas beliau.

Dalam majlis tersebut, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada isteri beliau, Datin Seri Dr Wan Azizah atas sokongan dan pengorbanan yang memungkinkan naskhah itu disiapkan, sambil mendedikasikan buku berkenaan khas buat beliau.

Beliau turut mengumumkan bahawa keseluruhan hasil royalti buku akan disalurkan kepada pelajar miskin sebagai usaha menyuburkan akses pendidikan dan membuka ruang perubahan kepada generasi muda.

“Kerana akhirnya, kekuatan sesebuah negara tidak diukur pada wacana pemimpinnya, tetapi pada masa depan yang bebas dan bermaruah untuk generasi seterusnya,” kata beliau. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan