BARU selesai memimpin persembahan orkestra tradisional semasa Majlis Makan Malam Gala ASEAN sempena beberapa hari lalu, Mohd Yazid Zakaria dilapor meninggal dunia hari ini.
Pemergian Allahyarham yang merupakan Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya semasa majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 itu turut mengejutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Anwar, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tempatan.
“Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa.
“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara.
“Dedikasinya akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.
Anwar memaklumkan, anak Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini.
“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.
“Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, memaklumkan, Mohd Yazid, 57, meninggal dunia secara mengejut di sebuah klinik di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira pukul 11 pagi.
Beliau berkata, Allahyarham mengalami kekejangan otot dan rebah ketika sedang menunggu untuk rawatan.
“Pihak klinik sedaya upaya menjalankan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) berterusan dan pelbagai usaha telah dilakukan sementara menanti ketibaan ambulans kecemasan.
“Punca kematian hanya dapat diketahui selepas proses bedah siasat dilakukan dan jenazah dikebumikan di Seremban selepas urusan berkenaan selesai,” katanya dalam kenyataan.
Allahyarham telah berkhidmat di Istana Budaya sejak tahun 2008 sebagai Ahli Muzik dan sehingga kini pelbagai pencapaian telah dianugerahkan.
Ini termasuk Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan dan Profesional) sempena Sambutan Hari Pekerja 2024, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024 dan 2016.
Allahyarham juga telah menyumbang bakti sebagai Pengarah Muzik dan Konduktor bagi persembahan Majlis Makan Malam Gala, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya. — Edisi 9

