PRESIDEN Donald Trump hari ini mengiktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai pencapaian besar yang memperlihatkan kewibawaan negara dan keteguhan ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengiktirafan itu disampaikan Trump dalam perbualan menerusi telefon dengan pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu hari ini.
Anwar berkata, dalam perbualan tersebut, beliau tegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau, khususnya terkait isu Kemboja–Thailand.
“Saya turut sampaikan penghargaan kepada beliau (Trump) atas peranan yang dimainkan oleh AS dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai,” katanya menerusi media sosial hari ini.
Anwar berkata, Malaysia menantikan kehadiran m Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan, yang akan menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Perdana Menteri berkata, perbualan telefon tersebut berlangsung ketika beliau menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer yang berada di negara ini sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.
Sementara itu, dalam pertemuan dengan Greer, Anwar berkata, mereka bertukar-tukar pandangan berkaitan hubungan strategik kedua-dua buah negara serta ASEAN terutamanya dari perspektif perdagangan.
“Saya tegaskan akan kepentingan Malaysia dan AS memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang sedang dirundingkan hatta ini akan turut dapat mendorong ketentuan arah tuju dasar serta perancangan komuniti perniagaan kedua-dua buah negara,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua rakan-rakan perdagangannya lantas akan dapat mendorong pertumbuhan ekonomi domestik yang mapan. — Edisi 9

